Sunday, 19 February 2017

Kenapa Malaysia menjadi lokasi pembunuhan?


KUALA LUMPUR – Malaysia dipercayai menjadi sasaran lokasi pembunuhan Kim Jong-nam atas faktor negara ini memiliki kurang kepentingan dari segi politik dan ekonomi bagi kerajaan Korea Utara berbanding negara lain yang sering dikunjungi abang Pre­siden Korea Utara, Kim Jong-un.

Penyelidik Kajian Dasar di Institut Asan, Go Myong-hyun berkata, Malaysia tersenarai sebagai lokasi pembunuhan berikutan kurang berisiko sekiranya hubung­an diplomatik dua hala antara negara itu dan Korea Utara terjejas berbanding Singapura dan China.

Ujarnya, Macau yang merupakan tempat tinggal Jong-nam dan keluarganya adalah sebahagian dari China, justeru Korea Utara tidak mahu mempunyai sebarang konflik dengan negara itu.

"Singapura pula merupakan salah satu hub ekonomi penting kepada republik itu, oleh itu mereka tidak mahu menjejaskan hubungan dua hala berkenaan," katanya dalam forum bertajuk ‘Significance of Kim Jong-nam’s Death’ yang disiarkan selama 25 minit 17 saat menerusi stesen televisyen Korea Selatan, Arirang.

Menurut Myong-hyun, antara aspek lain pembunuhan dilakukan di Malaysia adalah disebabkan negara ini menjadi salah satu destinasi utama yang dikunjungi Jong-nam selain Singapura.

Dalam pada itu, forum berkenaan turut menampilkan Penyelidik Kanan di Institut Analisis Pertahanan Korea (KIDA), Kim Changsu dan Profesor Sains Ketenteraan di Universiti Daejeon, Song Seong-jong sebagai panel manakala Profesor di Akademi Diplomatik Korea, Kim Han-kwon sebagai moderator.

Antara perkara yang dikupaskan dalam forum berkenaan adalah spekulasi yang mengatakan Jong-nam dibunuh kerana menjadi ancaman terhadap kedudukan adiknya sebagai pewaris takhta Korea Utara serta adakah tragedi itu akan menggugat kestabilan pemerintahan Korea Utara.

Pada Isnin lalu, Jong-nam yang menggunakan identiti Kim Chol, 47, dipercayai diracun dua wanita ketika berada di KLIA2 sebelum sempat menaiki penerbangan ke Macau.

Mangsa kemudian ke kaunter perkhidmatan lapangan terbang itu untuk memohon bantuan perubatan selepas mengadu tidak sihat, namun dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya. - Utusan Online

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments