KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) merobohkan 10 rumah setinggan di Kampung Kibagu, Manggatal, di sini, selepas arahan mengosongkan kediaman haram terbabit tidak dihiraukan penghuninya.
Setinggan terbabit yang dihuni kira-kira 30 penduduk tempatan dan asing dirobohkan menerusi Operasi Bersepadu Perobohan Rumah dan Struktur Haram DBKK, pagi tadi.
Pembantu Penguatkuasa Bahagian Setinggan dan Tugas Khas DBKK, Mohd Romzi Musa, berkata pihaknya sudah mengeluarkan notis amaran kepada penghuni setinggan terbabit pada 11 dan 12 Januari lalu, namun penghuninya enggan berpindah.
"DBKK sudah memberikan notis supaya mereka mengosongkan kediaman tetapi selepas lebih sebulan, mereka masih tinggal di sini tanpa rayuan rasmi untuk meminta tempoh pengosongan dilanjutkan.
"Selepas kami datang, barulah ada yang membuat rayuan secara lisan tetapi tindakan merobohkan struktur haram ini tetap diteruskan kerana ia dibina di tanah kerajaan," katanya ditemui selepas operasi berkenaan, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Romzi berkata operasi perobohan setinggan di Kampung Kibagu adalah yang ketiga bagi tahun ini selepas operasi sama yang dilaksanakan di Kampung Numbak dan Jalan Pinggir Satu serta Pinggir Dua, di sini.
Seramai 13 anggota Bahagaian Penguatkuasa DBKK bersama beberapa agensi lain seperti Jabatan Tanah dan Ukur negeri (JTU), Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya, DBKK, polis dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB). - BH online
No comments:
Write comments