Saturday 28 January 2017

Wanita rugi RM800 beli barang kemas melalui Facebook

SANDAKAN: Seorang wanita kerugian RM800 selepas terpedaya dengan tawaran menarik membeli barang kemas menerusi Facebook, minggu lalu. 

Mangsa berusia 33 tahun yang juga kakitangan kerajaan dari Taman Anggerik, Jalan Lintas Sibuga di sini, mendakwa membeli rantai leher emas menerusi akaun Facebook yang menggunakan nama ’emas termurah di pasaran’ pada 23 Januari lalu. 

Bagaimanapun, selepas membuat transaksi pembayaran secara atas talian, suspek yang berjanji untuk mengirimkan barang kemas terbabit memberi pelbagai alasan termasuk menghadapi masalah banjir. 

Selain itu, mangsa mendakwa turut disekat oleh suspek dalam laman sosial itu menyebabkan dia gagal menghubungi suspek. 

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin, berkata mangsa hanya membuat laporan polis jam 5.40 petang semalam. 

“Siasatan masih diteruskan untuk mengesan suspek,” katanya di sini, sebentar tadi. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - Sayang Sabah

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments