Wednesday 25 January 2017

Pos malaysia dijadikan tempat memalsukan dokumen rasmi kerajaan

PETALING JAYA: Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) mengesahkan seorang kakitangannya telah ditahan kerana disyaki terbabit dengan anggota ‘Geng Tuah’ yang aktif memalsukan dokumen kerajaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad, Datuk Mohd Shukri Mohd Salleh dalam satu kenyataan berkata pihaknya tidak dapat mengulas lanjut perkara itu kerana ia masih dalam siasatan.

"Kami boleh mengesahkan bahawa seorang kakitangan telah ditahan berkaitan kes tersebut.

"Walau bagaimanapun, kami ingin menegaskan bahawa kami tidak sekali-kali menyokong kegiatan seperti itu," katanya dalam satu kenyataan, Rabu.

Katanya, Pos Malaysia akan memberikan kerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa dan menunggu hasil siasatan sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.

Beliau menambah, Pos Malaysia juga telah mengambil langkah proaktif dengan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk mengelakkan kegiatan penipuan.

"Ekoran kes ini, syarikat telah sekali lagi memberikan taklimat dengan kakitangan kami untuk lebih berhati-hati dalam menangani dokumen penting.

"Kami juga akan berbincang dengan pihak berkuasa berhubung langkah-langkah yang lebih ketat bagi menangani taktik pemalsuan baharu, dan jika perlu, dikaji semula," katanya.

Dalam tiga serbuan yang dijalankan oleh pihak polis pada Jumaat dan Ahad lepas, lima individu dipercayai anggota ‘Geng Tuah' diberkas oleh polis Perak.

Dalam serbuan ketiga, polis menahan sepasang suami isteri, masing-masing berusia 37 tahun dan bekerja sebagai kerani Pos Malaysia dan guru, di Pokok Asam, Taiping.

Sindiket itu dipercayai memalsukan dokumen rasmi kerajaan seperti kad pengenalan, lesen memandu, cukai jalan dan perakuan pendaftaran untuk kereta klon atau curi sejak beberapa tahun lepas. - Mstar

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments