Saturday 28 January 2017

Seluar diimport dari China bukan Israel, kata Giant

KUALA LUMPUR: Pasar raya Giant Hypermarket menafikan dakwaan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang rangkaian itu menjual barangan keluaran syarikat dari Israel.

Terdahulu, Boycott, Divestment and Sanction (BDS) Malaysia, yang mewakili gerakan menganjurkan boikot barangan dan hubungan akademik Israel di seluruh dunia, mendakwa Giant menjual seluar berjenama “Shay Shaul”, yang menurut mereka keluaran syarikat dari Israel.

Bagaimanapun, Giant Hypermarket, GCH Retail memberitahu FMT barangan itu sebenarnya diimport dari China.

“Kami ingin memaklumkan produk tersebut diimport dari China.

“Kami menyesali sebarang sensitiviti yang berkaitan dengan isu ini,” katanya.

Pemeriksaan FMT di salah sebuah pasar raya Giant semalam mendapati memang ada seluar berjenama itu, dengan label menggunakan tulisan seakan Hebrew.

Bagaimanapun, seorang jurujual berkata ia tidak lagi dijual dan akan dipulangkan kepada pembekal hari ini, tanpa menyatakan sebabnya.

Sebelum itu, Pengerusi BDS Malaysia, Mohd Nazari Ismail menggesa Giant menarik balik jualan seluar itu.

“Jika tidak, kami akan meminta kerajaan mengambil tindakan terhadap Giant serta menjalankan kempen boikot di seluruh negara,” katanya lagi.

BDS cawangan Malaysia juga menggesa orang ramai menyuarakan bantahan terhadap penjualan itu menerusi laman “maklum balas pelanggan” Giant.

September lalu, BDS Malaysia menggesa Sime Darby berhenti menjual jentera pembinaan Caterpillar dan kereta Hyundai selepas kedua-dua syarikat itu didakwa bersekongkol dengan aktiviti perobohan rumah milik penduduk Palestin di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.

Usaha BDS disokong pelbagai pihak termasuk ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan, majlis perbandaran dan penggiat seni di seluruh dunia.

Antara universiti dan ahli akademik yang menyokong boikot yang dianjurkan BDS termasuk di Afrika Selatan, Amerika Syarikat, United Kingdom, India, Sweden, Ireland, Brazil, Belgium dan Itali. Mereka termasuk pakar fizik terkenal, Stephen Hawking.

Selebriti lain yang turut menyokong BDS termasuk ahli kumpulan Pink Floyd, Roger Waters, pelakon Russel Brand dan Meg Ryan, serta penyanyi One Direction, Zayn Malik.

BDS diinspirasikan oleh kejayaan boikot dan sekatan ekonomi ke atas regim apartheid di Afrika Selatan pada 1980-an, sehingga memaksa perubahan di negara itu yang akhirnya menamatkan sistem perkauman menindas penduduk kulit hitam. - Free Malaysia Today

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments