Saturday 28 January 2017

E-Kad untuk pendatang tanpa izin tarik minat majikan

PETALING JAYA: Kumpulan perniagaan berminat dengan kad sementara atau Enforcement Card (E-Kad) bagi membolehkan majikan memohon pengambilan semula pendatang tanpa izin (Pati) sebagai pekerja, seperti yang diumumkan imigresen pada Selasa.

Menyusuli pengumuman itu, beberapa kumpulan menemui Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali membincangkan pelaksanaan E-Kad dan prosedur yang perlu diikuti majikan.

Bercakap kepada FMT seusai pertemuan itu, Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Kebangsaan Malaysia, Datuk Michael Kang Hua Keong berkata kebimbangan utama beliau menyentuh soal sama ada majikan perlu membayar ejen untuk memproses permohonan pekerja selepas memperoleh E-Kad.

“Saya sampaikan kebimbangan kami kepada ketua pengarah berkenaan proses pengambilan semula.

“Saya maklumkan kami selaku majikan dan perniagaan berharap tiada bayaran dikenakan oleh ejen atau orang tengah selepas peringkat pengambilan semula,” katanya.

Menurut Michael, dirinya dan wakil 5 kumpulan perniagaan lain menyampaikan hasrat secara jelas kepada Mustafar.

“Beliau sangat terbuka mendengar maklum balas kami, dan membuat catatan sepanjang pertemuan itu.

“Selepas mesyuarat, beliau beritahu hasrat dan kebimbangan kami akan diangkat ke Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan bersetuju untuk mengeluarkan E-Kad bagi membolehkan majikan memohon pengambilan semula Pati secara sah.

Kad itu berfungsi sebagai pengesahan sementara menggantikan dokumen perjalanan sah dan boleh didapatkan secara percuma, lapor Bernama.

“Permohonan untuk mendapatkan E-Kad ini akan dibuka mulai 15 Februari sehingga 30 Jun depan,” kata Mustafar kepada agensi berita nasional, menambah imigresen tidak menggunakan perkhidmatan orang tengah atau ejen dalam permohonan E-kad.

Beliau menambah program terbuka hanya kepada Pati di Malaysia Barat dan menjangkakan sehingga 600,000 Pati akan didaftarkan dibawah program baharu ini, tertakluk pada syarat tertentu.

Sementara itu, Michael berkata kumpulan perniagaan dan Mustafar akan bertemu sekali lagi pada hari ketiga Tahun Baru Cina, iaitu Isnin depan, untuk meneliti butiran proses pengambilan semula bagi majikan. - Free Malaysia Today

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments