Tuesday 31 January 2017

Polis Tahan Lelaki Tempatan Pecah Masuk Pejabat JPN

KUNAK: Polis Kunak menahan seorang lelaki tempatan selepas memecah masuk pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Simpang Empat Kunak, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kunak, Supt Mohd Nasaruddin M. Nasir berkata suspek berumur 24 tahun itu ditahan kira-kira 5.20 pagi selepas anggota bertugas menerima laporan dan bergegas ke lokasi kejadian.

“Anggota bertugas Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang tiba di lokasi, mendapati bahagian pintu belakang pejabat telah diumpil manakala pagar besi tingkap telah dirosakkan.

“Sewaktu pemeriksaan dilakukan, seorang lelaki ditahan dan kereta berwarna oren turut dirampas,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, ketika kejadian tiada kamera litar tertutup yang dipasang atau saksi kejadian dan kesan cap jari juga tidak ditemui.

Nasaruddin juga tidak menolak andaian, lelaki yang ditahan itu merupakan suspek sama yang memecah masuk bilik rekod pejabat JPN Kunak pada 18 Januari lepas.

Beliau berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan bagi kesalahan pecah masuk premis. - Free Malaysia Today

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments