Sunday 29 January 2017

Tanpa Laluan Motorsikal, Pemandu Kereta Tanggung Masalah

“Kalau bawa kereta, ingat perkara ini. Jangan sesekali langgar motorsikal. Kalau terlanggar kenderaan lain, rosak pada kenderaan, kalau motorsikal, ia boleh membabitkan nyawa,” demikian pesan adik lelaki pada hari pertama saya memandu.

Satu pesanan yang sentiasa “hijau” dalam ingatan saya.

Tapi bila memandu, saya tertekan dengan karenah penunggang motorsikal lebih-lebih lagi di lebuh raya.

Motorsikal mencelah masuk di tepi kereta. Apabila pemandu kereta mahu ubah haluan, mereka bunyikan hon, keluar masuk sesuka hati. Semua ini menyebabkan pemandu khususnya kereta kecil seperti saya resah, takut dan terkejut?

Saya tahu, bahaya di sebelah pihak motorsikal lebih tinggi, namun pemandu kereta seperti kami yang kena tanggung risiko. Pemandu kereta lebih-lebih lagi wanita selalu ditegur sama ada dengan menjerit, layangkan tangan, tendang kereta, tunjuk isyarat lucah dan sebagainya jika pemanduan menggangu penunggang motorsikal.

Soalnya, adakah penunggang motorsikal dibenarkan menggunakan lebuhraya?

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Nadzri Siron mengakui motorsikal dibenarkan menggunakan lebuh raya yang tiada laluan motorsikal.

Bagi lebuh raya yang ada laluan motorsikal pula, mereka boleh menggunakan lebuh raya selepas jam 10 malam.

“Kita kena berhemah semasa memandu. Nak buat macam mana kalau tiada laluan, hak jalan raya bersama maka semua orang kena berhati-hati gunakan jalan raya,” katanya kepada FMT Ohsem.

Kenyataannya itu juga mengesahkan, motorsikal tidak terikat dengan mana-mana laluan jalan di lebuhraya.

Kalau macam ini, susahlah. Memang tak dapat salahkan penunggang motorsikal kerana mencelah masuk sebab mereka boleh masuk keluar sesuka hati.

Tahun lepas misalnya, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof pun pernah mengaku laluan motorsikal Lebuhraya Persekutuan dibina mengikut standard lama iaitu lebarnya 2.5 meter sedangkan sebanyak 5,000 buah motosikal dianggarkan melaluinya pada satu-satu masa.

“Kalau mahu dilebarkan sehingga 3 meter, keluasan tanah di situ tidak cukup, justeru, kita sedang buat kajian bagaimana mahu mengatasi­nya,” katanya.

Hmm… berapa lama agaknya nak buat kajian tu?

Kembali kepada isu asal, hak pengguna pemandu kereta, apabila mereka secara tidak langsung dibuli penungang motorsikal yang menggunakan jalan utama, tidak boleh dipanjangkan lagi.

Nampaknya hanya pihak berkuasa sahaja yang mampu memberi penyelesaian. Yang mahu berbincang dan mengkaji, minta buatlah secepat mungkin. Ini bukan untuk soal penunggang motorsikal sahaja, malah pemandu kereta yang turut merisikokan diri dan secara tidak langsung menjadi mangsa buli.

Menurut seorang rakan yang bekerja dengan pihak berkuasa pengangkutan jalan, aturan semasa membenarkan semua kenderaan di atas satu jalan adalah berlawanan dengan keselamatan jalan raya.

“Kenderaan sepatutnya dipisahkan mengikut saiz dan kelajuan. Kerajaan tak nak buat dan ia salah satu sebab berlaku kemalangan nyawa. Sepatutnya kita ada laluan motorsikal,” katanya. - Free Malaysia Today

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments