Wednesday 25 January 2017

Najib seperti tiru ‘taktik’ ayahnya

ISU kemasukan pelabur China ke negara kita telah mencetuskan bualan hangat. Bukan sahaja rakyat biasa, ahli-ahli politik malahan kerabat raja turut terbabit sehingga menimbulkan pertikaman lidah. Dijangkakan isu ini akan terus dibangkit sehingga PRU akan datang.

Ketika ekonomi Malaysia dalam keadaan merudum sejak kebelakangan ini, dengan kejatuhan harga petroleum dan nilai ringgit; ditambahkan lagi kenaikan harga barangan, menyebabkan rakyat jelata semakin tertekan dan kerap menyalahkan kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagaimana pun tidak mendiamkan diri. Lalu, untuk mencari jalan keluar, beliau terbang ke China untuk memujuk pelabur-pelabur dari negara komunis itu untuk menanam modal di negara kita.

Hasilnya, perjanjian perdagangan antara kedua-dua negara telah tercapai dengan pelaburan bernilai RM144 bilion berjaya dibawa pulang oleh Najib awal November lalu.

Malaysia bukan sahaja mengeratkan hubungan dengan China, tetapi apa yang lebih penting ialah peluang perniagaan bakal diberikan kepada rakyat tempatan sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi negara kita.

Kekuatan ekonomi China sememangnya tidak boleh disangkal oleh mana-mana negara. Tidak ada ruginya bagi sesebuah negara yang menjalankan perniagaan dengan China termasuklah Malaysia.

Bagi yang masih mengingati, hubungan diplomatik antara Malaysia dengan China dimeterai setelah lawatan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein ke China pada tahun 1974. Gambar allahyarham, juga ayah kepada Najib, yang bersalaman dengan Presiden China, mendiang Mao Zedong menjadi detik yang bersejarah dan sukar dilupakan.

Kunjungan perdana menteri kedua Malaysia itu bukan sahaja merapatkan hubungan antara Malaysia dengan China, bahkan telah membolehkan BN mencapai kemenangan besar pada PRU yang diadakan pada tahun yang sama.

Faktor berkawan dengan China telah menyebabkan ramai pengundi Cina memberikan sokongan padu kepada BN pada PRU 1974. Walaupun baru berusia setahun ketika itu bagi menggantikan Parti Perikatan, tetapi BN mampu mencipta kemenangan cemerlang apabila berjaya meraih 72 daripada 82 kerusi parlimen yang dipertandingkan.

Kini sejarah silam bagaikan berulang. Apakah Najib akan menggunakan 'taktik' sama seperti yang dilakukan ayahnya bagi membolehkan BN mencapai kemenangan besar pada PRU akan datang?

Apabila Najib 'berkawan' dengan China, lebih-lebih lagi membawa masuk perniagaan dari China, apakah pengundi Cina akan kembali memberi sokongan kepada BN?

Dua PRU yang terakhir, iaitu 2008 dan 2013 menyaksikan BN tidak terdaya menghalang 'Tsunami Cina' apabila majoriti pengundi Cina memberi sokongan padu kepada pembangkang.

MCA menjadi mangsa untuk pengundi Cina melepaskan geram. PRU 2008, MCA memenangi 15 parlimen dan 32 Dun. Lima tahun kemudian, parti itu mengalami kekalahan paling teruk dalam sejarah penubuhannya apabila hanya dapat tujuh kerusi parlimen dan 11 Dun.

Namun, Najib kini seperti mempunyai 'senjata' baharu, iaitu 'isu pelabur China ke Malaysia' yang boleh diguna untuk menumbangkan calon-calon pembangkang, khususnya dari DAP.

Najib yang dilihat mampu menawan hati pengundi Cina kini menjadi kebimbangan kepada pakatan pembangkang.

Sekiranya 30 peratus pengundi Cina yang menyokong Pakatan Rakyat pada PRU lalu beralih menyokong BN pada PRU14, dijangkakan banyak kerusi milik DAP dan PKR akan dirampas oleh BN.

Najib yang ketika ini masih menghadapi pelbagai dakwaan daripada pembangkang mengenai isu dana RM2.6 bilion dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mungkin tidak perlu risau lagi kerana dengan berniaga dengan China, segalanya akan terselamat.

Sebaliknya, keadaan inilah yang membimbangkan Pakatan Harapan. DAP, PKR, Amanah hatta Bersatu semakin tidak selesa. Ketika Bersatu masih belum mengukuhkan pengaruhnya, bantuan daripada rakan-rakan partinya amat diperlukan.

Sekiranya DAP mengalami kekalahan besar kepada MCA dan Gerakan atas 'isu China' ini, sudah tentu akan menjejaskan peluang Pakatan Harapan mengambil alih tampuk pemerintahan daripada BN.

Maka tidak hairanlah pemimpin-pemimpin Bersatu melalui pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerap kali menuduh Najib sanggup menggadai negara semata-mata untuk membawa masuk pelabur-pelabur China ke negara kita.

Pembangkang pada mulanya menjangkakan mampu menggugat kedudukan BN dengan isu dana RM2.6 bilion dan 1MDB. Tetapi kini apabila tauke-tauke besar dari China membawa puluhan juta ringgit menjalankan pelbagai projek besar di negara kita, isu-isu yang membelenggu Najib ini kini menjadi senyap seketika.

PRU akan datang menjanjikan sesuatu yang menarik. Isu peribadi Najib mahupun isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor mungkin akan terus digembar-gemburkan oleh lawan, tetapi 'isu China' ini jauh lebih berkesan untuk memujuk pengundi agar menyokong BN.

Sedang kedudukan ekonomi negara berada dalam keadaan tidak menentu, rakyat tentunya lebih utamakan sumber rezeki. Inilah apa yang diinginkan dengan kemasukan pelabur-pelabur China ini.

Rakyat mahu cari makan, bukan mahu main politik ataupun bersifat perkauman seperti orang politik! - Sinar Harian

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments