Sunday 29 January 2017

Kanak-kanak antara penumpang bot hilang di Sabah

PETALING JAYA: Bot yang membawa 28 pelancong China turut membawa beberapa penumpang kanak-kanak, kata seorang pemandu bot sebagai dilaporkan New Straits Times Online (Online).

Arwin Musbir bagaimanapun mengakui beliau tidak mengetahui secara jelas bilangan kanak-kanak yang dilihatnya di dalam bot itu ketika ia meninggalkan jeti Tanjung Aru.

“Ada kanak-kanak di atas bot yang hilang tetapi saya tidak tahu berapa ramai,” katanya.

Beliau berkata bot yang hilang membawa 28 warga China itu bergerak serentak dengan bot lain dari jeti Tanjung Aru pada 9 pagi semalam.

Menurut Arwin, beliau turut membawa 31 warga China menuju ke Pulau Mengalum seperti mana bot yang hilang, tetapi melihat ia “ketinggalan” di pertengahan jalan.

“Semasa melalui Pulau Sapi, saya tidak lagi dapat melihat bot itu,” kata Arwin memberitahu NST Online.

Pulau Sapi terletak di pertengahan antara Tanjung Aru di tanah besar dan Pulau Mengalum di utara Laut China Selatan.

Semalam, satu laporan polis dibuat selepas bot Catamaran dengan 31 orang, termasuk 28 warga China hilang selama lebih 12 jam.

Sementara itu, Arwin memberitahu bosnya kehilangan bot selepas kembali ke jeti Tanjung Aru kemudian.

NST Online juga dimaklumkan bot yang hilang tidak mempunyai sistem komunikasi dan radar.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berkata dalam satu kenyataan, laporan polis dibuat pada 9.50 pm semalam.

Operasi mencari dan menyelamat dilancarkan kurang 30 minit kemudian.

Dua bot dan kapal Tentera Udara Diraja Malaysia masih meneruskan pencarian. - Free Malaysia Today

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments