Tuesday 31 January 2017

Tragedi Katamaran: Kawasan carian diperluas

KOTA KINABALU: Kawasan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa bot pelancong yang karam Sabtu lepas diperluas kepada 3,000 batu nautika persegi hari ini, hari keempat tragedi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz berkata sebanyak 20 aset udara dan laut terlibat dalam operasi merangkumi lima kapal, tujuh bot dan lapan pesawat milik Tentera Laut Diraja Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia, APMM, Polis Diraja Malaysia dan juga Brunei.

Pihak berkuasa Brunei menugaskan sebuah helikopter dan sebuah kapal dengan tumpuan operasi di kawasan perairan negara itu, katanya.

"Pada hari keempat ini kita tumpukan kepada carian di permukaan laut dari udara kerana hari ini adalah hari 'the golden hour' (hari-hari terakhir) untuk kita menemukan mereka yang masih hilang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya kawasan carian tertumpu di 30 batu nautika di utara Pulau Labuan menghala ke barat.

Mengenai peluang mangsa yang masih hilang untuk hidup, Adam berkata APMM pernah menyelamatkan mangsa pada hari ke-10 di laut.

"Ada banyak faktor yang menyumbang kepada daya tahan badan tetapi dengan keadaan panas, kehausan, kekurangan air dalam badan serta keadaan laut selain kebarangkalian jaket keselamatan tidak dapat bertahan, agar sukar untuk kami pastikan (peluang mangsa bertahan selepas empat hari)," katanya.

Mengenai percanggahan maklumat berhubung jumlah sebenar mangsa yang masih hilang sama ada enam atau lima, Adam berkata APMM masih menunggu hasil siasatan polis.

Percanggahan itu timbul apabila operator bot memberi senarai berbeza dengan senarai yang ada di atas bot semasa kejadian, katanya.

Dalam tragedi 10 pagi Sabtu lalu, bot pelancong jenis katamaran yang membawa 28 pelancong warga China dan tiga anak kapal tersebut karam dipercayai akibat angin kencang dan ombak besar semasa dalam perjalanan ke Pulau Mengalum, 56 kilometer di barat laut Kota Kinabalu.

Setakat ini, 25 mangsa ditemukan termasuk tiga yang maut. - Astroawani

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments