Thursday 26 January 2017

Wanita berdarah itu rupanya bunuh majikan

JOHOR BAHRU - Penemuan seorang wanita warga Indonesia yang berlumuran darah dengan kesan kecederaan oleh orang ramai di Jalan Suria 14, Taman Suria, di sini, dalam kejadian petang kelmarin, merungkai kepada kes pembunuhan majikan suspek.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 2 petang sebelum berjaya menemui suspek lima minit kemudian.

Menurutnya, suspek pada mulanya enggan memberikan kerjasama termasuk cuba berdolak-dalik termasuk memberi maklumat meragukan polis kononnya dia diserang dan telah dirogol majikannya.

"Pemeriksaan terhadap beg galas yang dibawa wanita itu telah menemui pelbagai barangan seperti dompet yang mengandungi kad pengenalan seorang wanita berumur 59 tahun selain beberapa unit telefon bimbit, komputer riba dan rantai emas milik mangsa.

"Susulan penemuan kad pengenalan itu, polis telah ke sebuah rumah di Jalan Suria 2, Taman Suria , di sini, iaitu satu kilometer daripada lokasi suspek ditemui sebelum membawa kepada penemuan mayat majikan suspek yang berada bilik utama di tingkat atas rumah teres berkenaan dalam keadaan berlumuran darah.

"Hasil pemeriksaan pada mayat seorang menjumpai sebilah pisau pemotong sayur sepanjang sembilan inci tertusuk di perut sebelah kanan selain dua kesan lubang di kepala dan tiga kesan luka di muka," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek yang berumur 30 tahun dari Batam Indonesia, mempunyai permit pekerjaan yang sah itu baru bekerja selama lapan hari dengan mangsa iaitu pengusaha pusat karaoke di Taman Pelangi.

Sulaiman berkata, polis menjumpai sebuah diari milik suspek yang baharu pertama kali bekerja di negara ini dan telah berkahwin itu di kediaman terbabit yang menyatakan dia mengalami tekanan bekerja dengan mangsa.

Menurutnya, polis tidak menolak sebelum pembunuhan itu, ada pertengkaran antara suspek dengan mangsa sebelum berlaku pergelutan manakala ketika kejadian anak mangsa tiada di rumah.

"Suspek yang menerima tujuh jahitan dikepala dan masing-masing sembilan dan tujuh jahitan akibat dua kesan kecederaan di pipi kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan direman selama lapan hari sehingga Isnin depan.

"Mayat mangsa dihantar ke HSA untuk dibedah siasat manakala kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya. - Sinar Harian

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments