Wednesday 25 January 2017

Bubar Kementerian Wilayah Persekutuan selain tutup pejabat Tourism Malaysia

Kerajaan Persekutuan dicadang membubarkan Kementerian Wilayah Persekutuan yang mempunyai tugas bertindih dengan pihak berkuasa tempatan di Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan.

Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng berkata, peruntukan RM1.161 bilion bagi tahun 2017 untuk kementerian itu boleh diagihkan atau dibelanjakan bagi membina rumah mampu milik untuk pasangan muda dan keluarga berpendapatan rendah.

"Kementerian tersebut sebenarnya tidak ada kerja pun, selain hadir ke acara rasmi untuk faedah liputan media. Tugasnya juga bertindih dengan tiga pihak berkuasa tempatan di Putrajaya, KL dan Labuan.

"Malah, Kementerian Wilayah Persekutuan sebenarnya telah dibubarkan sebelum ini oleh Barisan Nasional, dan hanya diberi nyawa sekali lagi pada zaman Tun Abdullah Badawi. Ini jelas menunjukkan bahawa Kementerian Wilayah Persekutuan adalah suatu pertindihan dan hanyalah suatu makhluk politik yang memberi faedah kepada pihak-pihak tertentu sahaja," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz untuk menutup 14 pejabat pelancongan itu ekoran pertindihan kerja dengan agensi sektor berkenaan di setiap negeri.

Beliau juga berkata, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) yang dibentuk di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah juga dibentuk untuk memberi manfaat kepada pemimpin BN setempat dan untuk ‘mencari pasal’ dengan ketua kampung yang dilantik oleh kerajaan negeri Pakatan Harapan.

"Sekiranya Nazri boleh menutup kesemua pejabat negeri begitu sahaja ekoran pertindihan tugas antara agensi berkenaan dengan pihak berkuasa pelancongan setiap negeri dan untuk menjimatkan kos, JKKKP juga seharusnya dibubarkan serta merta," katanya.

Sebelum ini pejabat Tourism Malaysia seluruh negara diarah ditutup serta merta dan semua kakitangan serta pegawainya diserap ke ibu pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan atau agensi lain kementerian berkenaan.

Langkah itu, menurut Nazri dijangka mampu menjimatkan kos hampir RM6 juta setahun. - Malaysiadateline

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments