Friday 27 January 2017

Kanak-Kanak 9 Tahun Antara 3 Ditahan Edar Dadah

SANDAKAN- Pihak polis di sini telah menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah menggunakan kanak-kanak untuk mengedar syabu atau methamphetamine berikutan penahanan tiga orang suspek termasuk seorang budak perempuan berusia 9 tahun di Flat MPS Karamunting, di sini, Rabu lalu. 

Asisten Superintendan Mohd Azhar Hamin berkata, serbuan yang dilakukan oleh pasukannya telah berjaya merampas ketulan hablur disyaki syabu dengan berat 1, 050 gram (1.05kg) daripada ketiga-tiga suspek tersebut. 

Mereka yang ditahan merupakan seorang wanita berusia 37 tahun, remaja perempuan tempatan berusia 15 tahun dan budak perempuan sembilan tahun.

Kesemua suspek dicekup di tangga di antara dua buah lot kedai di tingkat bawah bangunan flat tersebut. Tambah Azhar lagi, hasil tangkapan itu dibuat berdasarkan maklumat orang awam. 

Pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti dan polis bandar telah melakukan intipan di kawasan itu sebelum serbuan dibuat. 

“Ketulan hablur itu dianggarkan berjumlah RM70,000 dalam pasaran. 

“Wanita berusia 37 tahun merupakan pemegang kad IMM13 manakala kanak-kanak itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri. Ketiga-tiga suspek dipercayai mempunyai pertalian,” jelasnya. 

Tambah Azhar lagi, rampasan itu merupakan yang terbesar bagi tahun ini di daerah itu dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39A (1) dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - Sayang Sabah

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments