Thursday 26 January 2017

Bina tembok, tolak pendatang Islam

Washington: Donald Trump akan mula menggunakan kuasa eksekutif sebagai Presiden Amerika Syarikat dengan dasar memperketatkan sempadan, termasuk pembinaan tembok di sempadan Mexico serta menghalang sementara kemasukan pendatang dari negara Islam. 

Trump melalui Twitter berkata: “Hari penting dirancang untuk KESELAMATAN NEGARA esok. Antaranya, kita akan bina tembok.”

Menurut AFP, sebahagian sempadan Amerika-Mexico sudah dipagar namun menurut Trump, tembok yang bakal dibina sepanjang 3,200 kilometer itu perlu bagi mengekang kemasukan pendatang dari Amerika Latin. 

Dalam masa beberapa hari ini, beliau juga dijangka mengambil langkah menghalang kemasukan pendatang serta pelarian dari Syria, Iran, Iraq, Libya, Yeman, Sudan dan Somalia yang dianggap mengancam keselamatan Amerika.

Trump dilaporkan sedang menimbang langkah memberhenti atau memperlahankan kemasukan pelarian, terutama dari Syria dan negara Islam lain. 

Kira-kira 4.8 juta rakyat Syria membanjiri negara jiran dan Eropah dengan dianggar 18,000 melarikan diri ke Amerika.

Pentadbiran Trump juga sedang mengkaji untuk menghapuskan dasar bekas Presiden Barrack Obama yang memberi perlindungan kepada ratusan ribu kanak-kanak pendatang haram daripada dihantar pulang. 

Program yang dimulakan pada 2012 itu melindungi kanak-kanak pendatang haram daripada dihantar pulang dengan memberi mereka permit kerja namun Trump mahu menamatkannya. - Sayang Sabah

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments