Wednesday 1 February 2017

Pekerja tidak boleh diberi pilihan tak carum KWSP

PETALING JAYA: Dua pakar ekonomi menolak cadangan untuk membenarkan pekerja memilih untuk tidak mencarum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Profesor di Universiti Sains Malaysia Mohamed Ghouse Nasuruddin berkata memberikan pilihan kepada pekerja seperti itu amat bahaya.

“Jika anda benarkan akses kepada simpanan KWSP, mereka mungkin akan menjejaskan masa depan sendiri hanya semata-mata untuk memenuhi keperluan semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Dewan Perniagaan dan Industri Cina Perak, Liew See Yee yang mencadangkan pekerja sepatutnya diberi pilihan terhadap caruman KWSP.

Liew berkata langkah itu mungkin dapat membantu mereka menangani masalah kos sara hidup yang tinggi dan menyuntik lebih banyak wang dalam pasaran.

Ghouse berkata ada perbezaan antara membenarkan pencarum mengeluarkan sebahagian wang simpanan untuk membeli rumah dengan membenarkan mereka menghentikan menyimpan sebahagian daripada gajinya.

“Membeli rumah itu satu pelaburan, tetapi jika anda benarkan pencarum ambil apa yang sepatutnya disimpan dan gunakan ia untuk perbelanjaan harian, itu maknanya anda mengeksploitasi wang itu,” katanya.

Beliau berkata kerajaan sebaliknya perlu mempertimbangkan apa yang boleh dilakukan bagi memastikan rakyat dapat menjalani kehidupan selesa.

“Kita patut melihat kepada kawalan harga, pemberian subsidi yang sempurna dalam bentuk kupon makanan dan memastikan pembangunan masyarakat dengan pembabitan NGO. Kerajaan juga perlu mengurangkan perbelanjaannya,” katanya.

Yeah Kim Leng dari Sunway University berkata tindakan itu boleh menjejaskan produktiviti dan Liew gagal mempertimbangkan kesan jangka panjang ketika membuat cadangan itu.

“Bagi tempoh panjang, kita sepatutnya cuba melihat cara lain untuk menambah pendapatan atau berjimat cermat kerana simpanan persaraan untuk anda ketika lepas bersara,” katanya.

Bagaimanapun katanya, beliau bersetuju jika pekerja yang sangat terdesak diberi pilihan untuk tidak mencarum, tetapi hanya untuk tempoh setahun.

Kesan paling ketara daripada cadangan itu ialah majikan juga akan berhenti menyumbang untuk simpanan pekerja mereka.

Merujuk kepada masalah itu, Yeah berkata jika kerajaan akan bersetuju dengan cadangan itu, ia patut mengehadkan pilihan itu kepada industri yang berdepan persaingan sengit pada masa ini dan cuba bertahan dengan pengurangan permintaan. - Free Malaysia Today

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments