Tuesday, 15 August 2017

Mahu Beli Kerusi Dari Amazon Dan Dapatnya…


WASHINGTON DC – Tentu sekali ramai yang sering beli-belah atas talian tidak perlu mengharungi kesesakan jalan raya khususnya pada waktu sibuk dan menikmati harga produk lebih murah.

Bagaimanapun anda juga perlu berwaspada ketika berbelanja secara online. Jangan jadi seperti wanita Amerika Syarikat ini yang asalnya begitu teruja mahu membeli sebuah kerusi untuk diletakkan dalam bilik pejabat!

Menurut media antarabangsa yang memetik catatan menerusi akaun Twitter seorang netizen dikenali sebagai Savannah, dia menempah sebuah kerusi plastik yang agak unik daripada laman beli-belah popular Amazon.

Ekoran amat tertarik dengan tawaran harga istimewa kerusi tersebut yang begitu rendah, iaitu AS$10 (kira-kira RM43) berbanding banyak lagi kerusi lain di pasaran, dia tidak ragu-ragu untuk segera menempah pembeliannya.

Namun alangkah terperanjat apabila kiriman penghantaran kerusi yang ditempah itu akhirnya tiba! Ia langsung tidak seperti apa yang dia jangkakan meskipun masih lagi boleh diletakkan dalam ruang sempit pejabatnya.


Kerusi yang ditempah memang seperti apa tertera dalam laman Amazon tersebut, tetapi ia amatlah kecil bahkan sebenarnya merupakan sebuah kerusi memang bersaiz kecil sesuai dijadikan perhiasan atau alat permainan.

Savannah kemudian memuat naik gambar serta pengalamannya menerusi Twitter dan orang ramai menasihatinya untuk terlebih dahulu rajin membaca keterangan dan ukuran yang tertera sebelum mengisi butiran tempahan.

Wanita tersebut dalam komen turut mengakui ia satu kesilapan dirinya sendiri tetapi menurutnya menerusi laman Twitternya, dengan harga yang begitu rendah, dia hanya membeli terus kerusi itu tanpa sempat berfikir dua kali.

Walaupun begitu, Savannah tidak menyesal atas pembeliannya itu kerana pengalaman tersebut amat lucu sambil menasihati pengguna lain untuk tidak pula mengulangi kesilapan serupanya. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments