Tuesday, 15 August 2017

Isu Saleem Dan Syafiq Farhain Belum Berakhir


BEBERAPA hari ini, isu antara dua beranak ini sering disebut-sebut media. Mana taknya yang si bapa melarang anaknya menyebut-nyebut dan menyanyi lagunya.

Yang si anak pula pernah malu mengaku ayahnya sebagai bapa. Mengapa?

Rupa-rupanya penyanyi Saleem dan anaknya, Syafiq Farhain, seorang pendatang baharu industri pernah bermasam muka suatu ketika dahulu perihal isu keluarga.

Menurut isteri kepada vokalis kumpulan Iklim ini, Julia Bachok, seharusnya Syafiq meminta maaf kerana pernah mengguriskan hati suaminya itu dengan apa yang pernah dilakukan dulu.

“Saya tidak kisah apa orang luar nak cakap kerana mereka tidak tahu apa yang berlaku. Syafiq kena ingat dia pernah menuduh bapanya dengan perkara-perkara yang tidak baik satu masa dahulu dan dia sendiri malu nak mengaku Saleem sebagai bapanya,” katanya memetik laporan mStar Online.

Terdahulu, dikhabarkan Syafiq ada mengaitkan nama Saleem dalam sesi temubual bersama media dan sering menyanyikan lagu-lagu bapanya itu.

“Mereka telah mengganggu periuk nasi saya kerana saya masih lagi hidup. Cara dia (artis baharu) menyanyi lagu dan mengikut cara saya bagi mencipta nama dalam industri,” kata Saleem.

Keadaan ini disifatkan Saleem sebagai menutup periuk nasinya dan tidak menghormati dirinya yang masih aktif dalam industri hiburan tanah air.

“Perkara ini menyebabkan Saleem marah kepadanya. Bila sudah masuk dalam industri dia pula ambil kesempatan dan jalan singkat ini,” ujar Julia yang membidas kritikan orang ramai terhadap tindakan Saleem.

Sebelum ini, pihak syarikat rakaman MVM Productions ada menerima surat amaran daripada pihak Saleem dan berbincang berkenaan isu ini.

“Dalam perbincangan itu Saleem melarang anaknya iaitu Syafiq agar tidak mengaitkan nama dia dalam mana-mana temuramah bersama media dan menyanyikan lagu-lagu dia di mana-mana acara,” ujar Rumhadi Rumlan yang merupakan Pengarah Urusan MVM Productions.

Timbul pula desas-desus yang mengatakan kedatangan Syafiq dalam industri disebabkan bapanya itu. Namun, Julia menjelaskan bahawa dia yang ingin membantu Syafiq mengembangkan bakatnya kerana sifat keibuan yang ingin membantu.

Julia turut menegaskan akan menyaman pihak berkenaan sekiranya mereka melanggar syarat kerana banyak pihak meminta Syafiq untuk menyanyi seperti Saleem dengan bayaran yang murah.

Sementara itu, Hadi bersetuju dengan syarat yang ditetapkan pihak Saleem walaupun mengakui hak penyanyi menyanyikan sesebuah lagu terletak di tangan syarikat rakaman.

“Walaupun pada hakikatnya Saleem sebenarnya tiada hak kerana hak menyanyikan lagu itu terletak pada syarikat rakaman bukan penyanyi, namun kami hormat dan faham,” ujarnya.

Syafiq Farhain baru menceburkan diri dalam industri menerusi single pertamanya yang bertajuk Sayang Maafkan Aku dan telah mendapat lebih 2 juta tontonan di YouTube.

Harapnya, krisis antara mereka dapat diselesaikan dengan sebaiknya dan sama-sama mengharungi bidang nyanyian ini. – MYNEWSHUB.CC/Aisyah Karim

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments