Monday, 14 August 2017

Cemas Selepas Kematian 60 Kanak-Kanak Di Hospital


NEW DELHI – Suasana cemas menyelubungi India selepas berlaku lebih 60 kematian kanak-kanak dalam tempoh lima hari di sebuah hospital di negeri utara Uttar Pradesh.

Sudah tentunya yang dipersoalkan ialah sistem penjagaan kesihatan negara ini.

Pada permulaannya, kes kematian kanak-kanak itu dikaitkan dengan kekurangan tabung gas oksigen di Baba Raghav Das (BRD) Medical College di Gorakhpur yang dikendalikan kerajaan.

Bagaimanapun, pentadbiran Uttar Pradesh menolak habis-habisan laporan media yang disiar Jumaat lepas (11 Ogos) yang melaporkan sebuah syarikat menghentikan bekalan tabung gas oksigen kepada hospital berkenaan kerana hutang sekitar tujuh juta rupee (AS$109,000).

Tambahan isu kekurangan tabung gas oksigen itu tidak dimaklumkan kepada Ketua Menteri Uttar Pradesh Yogi Adityanath sewaktu beliau melawat BRD Medical College dua hari sebelum kematian kanak-kanak itu disebar meluas oleh media negara itu.

Bagaimanapun, kekurangan tabung gas oksigen itu sememangnya berlaku di hospital berkenaan dan sebuah daripada syarikat pembekal barangan itu menghentikan bekalan baru-baru ini.

Pihak berkuasa dilaporkan sedang menyiasat sama ada kematian kanak-kanak itu ada kaitan dengan bekalan tabung gas oksigen.

“Bukan kesilapan kami. Berdasarkan perjanjian, had kredit tidak boleh melebihi Rs10 lakh (satu juta) tetapi pihak syarikat terus membekalkan tabung gas oksigen sehingga nilai hutang mencecah kira-kira Rs70 lakh.

“Kami juga membeli tabung gas oksigen ini dari sebuah firma yang tidak akan menghantar bekalan tanpa bayaran pendahuluan,“ kata Deepankar Sharma, pengurus syarikat yang mengghentikan bekalan itu memberitahu media tempatan.

Menteri Kesihatan Uttar Pradesh, Siddharth Nath Singh menegaskan pada Sabtu kanak-kanak itu bukan meninggal dunia kerana kekurangan tabung gas oksigen dan meminta parti pembangkang jangan “mempolitikkan” kematian kanak-kanak itu.

“Tidak ada kekurangan tabung gas oksigen di hospital itu. Kekurangan tabung gas kecemasan berlaku selama dua jam dan pada masa itu prosedur pernafasan mulut ke mulut dilakukan,” kata menteri itu lagi.

Kematian 60 kanak-kanak itu berlaku antara Isnin dan Jumaat. Laporan yang memetik BRD Medical College menyebut 34 bayi meninggal dunia di unit penjagaan intensif bayi yang baru lahir, 12 kematian akibat ensefalitis dan yang lainnya akibat pelbagai punca perubatan.

Sebelum Adityanath menjadi ketua menteri, beliau mewakili kawasan pilihan raya Gorakhpur dalam parlimen kebangsaan.

Pihak media yang biasa dengan Gorakhpur, yang terletak 800 kilometer dari Delhi, menyiarkan kes kematian kanak-kanak itu sehingga mendapat perhatian ramai. Gambar ibu yang menangis sambil memeluk bayi mereka yang sudah tidak bernyawa terpampang di mana-mana.

Pengetua kolej perubatan, BRD Medical College digantung tugas ketika kemarahan rakyat memuncak.

“Pengetua BRD Medical digantung tugas serta-merta,” kata Singh.

Pemimpin pembangkang mengaitkan kematian itu dengan kelemahan pentadbiran BRD Medical College.

“Tindakan pihak berkuasa tempatan menggantung pengetua kolej dan mengadakan siasatan tak bererti dan semata-mata mahu mengabui mata rakyat. Mahkamah Agung sepatutnya menyiasat perkara ini dan laporan mengenainya perlu dikeluarkan dalam tempoh 15 hari,” pemimpin kanan Kongres dan bekas menteri kesihatan persekutuan Ghulam Nabi Azad menegaskan.

Pemenang Anugerah Nobel dan pendokong hak asasi kanak-kanak, Kailash Satyarthi berkata dalam Twitternya, “Ini bukan tragedi. Ini adalah pembunuhan beramai-ramai. Apakah ini maknanya kemerdekaan 70 tahun kita untuk kanak-kanak?”

Pastinya kematian kanak-kanak ini mencetuskan keadaan yang memalukan ketika India bersiap-siap untuk menyambut Hari Kemerdekaannya pada 15 Ogos ini.

Kerajaan persekutuan menghantar Menteri Kesihatannya, Jagat Prakash Nadda tke Gorakhpur untuk meneliti keadaan.

Adityanath berikrar siasatan akan merungkai sama ada “kematian kanak-kanak itu berpunca daripada kekurangan bekalan tabung gas oksigen atau kurang rawatan.”

“Tindakan yang sewajarnya akan diambil ke atas mereka yang didapati bersalah,”katanya.

Persoalan yang dibangkitkan ialah bagaimana hospital di sebuah negeri yang baru-baru ini melancarkan perkhidmatan ambulans untuk lembu tidak mampu membayar hutang untuk tabung gas oksigen.

Kematian akibat kecuaian perubatan bukan perkara baru di India tetapi kematian berpuluh-puluh orang kanak-kanak dalam masa kurang seminggu adalah sesuatu yang luar biasa.

Uttar Pradesh, negeri yang mempunyai penduduk paling ramai iaitu lebih 200 juta orang adalah antara rantau yang mempunyai rekod penjagaan kesihatan yang lemah.

Kepakaran India dalam bidang sains perubatan dan farmaseutikal sememangnya disegani tetapi ini tidak bermakna rakyat golongan sederhana mendapat penjagaan kesihatan yang mencukupi.

Hospital yang dikendalikan kerajaan negeri sering menghadapi masalah untuk mengendalikan permintaan tinggi untuk penjagaan kesihatan dan pengabaian sering berlaku.

Antara rungutan orang ramai ialah tempoh yang panjang untuk mendapatkan rawatan, pesakit yang terpaksa disuruh pulang kerana kekurangan kemudahan dan wad hospital yang penuh sesak.

Keadaan dilaporkan bertambah teruk di luar bandar utama. Perbelanjaan awam India untuk penjagaan kesihatan yang dianggarkan sekitar satu peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) amat membimbangkan kerana ia di bawah purata global.

Jumlah doktor dan jururawat untuk setiap 1,000 penduduk adalah lebih rendah berbanding negara-negara besar yang lain.

Ratusan juta rakyat India tidak mampu untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta yang menawarkan perkhidmatan yang lebih baik tetapi kerana kos yang tinggi.

Melihat mereka yang meratapi kematian anak-anak malang di Gorakhpur, ramai orang menyoal sama ada mereka tidak mendapat rawatan yang sewajarnya kerana faktor kemiskinan. – BERNAMA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments