Tuesday, 15 August 2017

Baru Tahu Adik Kandung Duduk Sebatu Dari Rumah


SEORANG lelaki yang telah diserahkan untuk dijadikan anak angkat kira-kira 50 tahun lalu, tidak menyangka adik kandungnya hanya menetap sebatu sahaja jarak dari rumahnya iaitu di Blackpool, Lancashire.

Steve Belshaw baru dilahirkan apabila ibunya, Frances Unsworth yang ketika itu berusia 17 tahun, telah membuat iklan di dalam akhbar untuk menyerahkannya kepada mana-mana pihak yang mahu menjadikannya sebagai anak angkat.

Frances terpaksa membuat keputusan itu selepas pasangannya terbunuh dalam kemalangan jalan raya. Frances bagaimanapun meninggal dunia pada 2004 tanpa sempat melihat anaknya itu.

Steve yang ketika itu sedang mencari keluarga kandungnya, kecewa apabila mengetahui ibunya telah meninggal dunia. Namun dia mendapat maklumat bahawa dia mempunyai seorang adik dan menetap hanya sebatu dari rumahnya.

Perkara itu hanya diketahui apabila Steve muncul dalam televisyen ITV dalam program Long Lost Family. Program itu juga berjaya menemukan dia dan adiknya, Rob Hall.

Walaupun berbeza bapa, namun pertemuan itu menyebabkan kedua-duanya mengalirkan air mata apatah lagi Rob membawa gambar ibu mereka, yang tidak pernah ditemui oleh Steve.

“Untuk mempunyai adik…saya tidak pernah membayangkannya. Bertemu Rob membolehkan saya berasa lebih dekat dengan ibu saya. Dia mempunyai banyak kenangan dengan ibu saya yang boleh dikongsinya.

“Semua itu akan memberikan gambaran yang lebih jelas mengenai ibu saya,’’ kata Steve.

Dan ketika Rob dimaklumkan mengenai iklan dalam akhbar yang dibuat oleh ibu mereka, Rob menyifatkan ia sebagai amat menyedihkan.

“Saya berharap bukan sahaja menjadi adiknya, malah jua rakannya,’’ kata Rob. – MYNEWSHUB.CC

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments