Monday 14 August 2017

Armada Dakwa Serangan Disasarkan Kepada Tun M


SUSULAN kekecohan insiden baling kerusi dan bakar suar semasa program Nothing to Hide 2.0 di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam sebentar tadi, Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan serangan itu disasarkan kepada Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Dalam sidang media yang diadakan pada jam 6.30 petang tadi, Syed Saddiq berkata, “Perbuatan membaling kerusi dan suar itu dilihat dilakukan ke arah hadapan pentas, menunjukkan bahawa mereka sengaja mahu (mensasarkan) Tun Mahathir Mohamad.”

Menurut Syed Saddiq lagi, pihaknya mengecam perbuatan tersebut walau apapun latar belakang parti pelakunya, selain meminta pihak berkuasa terus menjalankan siasatan.


Kekecohan insiden baling kerusi dan selipar selain membakar suar tercetus ketika Tun Mahathir sedang menjawab soalan hadirin mengenai tragedi Memali yang berlaku ketika di zaman pemerintahan bekas perdana menteri keempat itu.

Tun Mahathir dipercayai sengaja enggan menjawab soalan yang diajukan hadirin mengenai kes liwat melibatkan bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum mengalihkan jawapan kepada isu Memali yang berlaku pada tahun 1985.

Dalam insiden itu, Tun Mahathir dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali terus dibawa keluar daripada dewan tersebut sejurus kejadian itu dan berada dalam keadaan selamat.

Program yang bermula jam 4.10 petang itu berjalan lancar lebih sejam sebelum kekecohan itu mula berlaku.

Kejadian itu telah menyebabkan pihak penganjur terpaksa membatalkan acara itu yang sepatutnya dijadualkan tamat pada jam 6 petang.

Nothing to Hide 2.0 merupakan anjuran Armada Malaysia iaitu sayap pemuda Bersatu yang mana memperlihatkan kehadiran Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng selain Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Naib Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan yang lain. – MYNEWSHUB.CC

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments