KEGEMBIRAAN seorang pelancong warga China yang sedang bercuti bertukar menjadi tragedi apabila menjadi mangsa ragut ketika dia sedang merakam swafoto video di Dataran Merdeka.
Aksi kejadian itu turut berjaya dirakam wanita berkenaan dan menjadi tular menerusi laman sosial.
Berdasarkan video lapan saat itu, wanita yang memakai kemeja berwarna putih itu dilihat terjatuh ketika sedang berswafoto apabila seorang penunggang motosikal muncul dari belakang meragut tas tangannya.
Dalam kejadian Selasa lalu itu, mangsa difahamkan sedang asyik merakam keindahan bangunan sekitar Dataran Merdeka di Kuala Lumpur menggunakan monopod kamera telefon bimbitnya.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd. Sukri Kaman mengesahkan insiden kejadian ragut tersebut.
Menurutnya, pelancong itu tidak mengalami kecederaan namun kehilangan beberapa dokumen peribadi yang ada dalam beg tersebut.
Susulan itu, satu siasatan sedang dijalankan dan saksi yang menyaksikan kejadian tersebut diminta tampil membantu siasatan. – MYNEWSHUB.CC
No comments:
Write comments