Thursday 11 May 2017

Banduan Menyamar Wanita, Kantoi Suara ‘Jantan’


CUBAAN licik seorang banduan yang menyamar sebagai wanita dengan menggunakan pas pelawat yang tercicir akhirnya berjaya disedari oleh pengawal penjara.

Dalam kejadian yang berlaku di San Pedro Sula, Honduras, suspek iaitu Francisco Herrera Argueta, 55, cuba melarikan diri dari penjara dengan menyamar sebagai wanita.

Banduan itu memakai skirt labuh, rambut dan payudara palsu, cuba keluar dari sebuah penjara kawalan ketat bersama ahli keluarga banduan lain ketika waktu melawat.

Lelaki itu merancang untuk menyamar sebagai seorang pelawat wanita dikenali sebagai Jacinta Elvira Araujo yang meninggalkan kad pengenalannya di pintu masuk penjara berkenaan.

Namun, usahanya untuk melarikan diri dari sebuah penjara di sini gagal selepas ditangkap di pintu keluar apabila pengawal curiga dengan suaranya yang garau.

Bekas ketua kumpulan samseng ini malah ‘kantoi’ apabila pengawal memintanya untuk menanggalkan cermin mata hitam yang dipakainya.

Walaupun berusaha untuk kelihatan seperti wanita lengkap dengan solekan di wajah dan mewarnakan kukunya merah jambu tetapi Argueta terlupa satu bahagian yang penting iaitu suaranya yang garau.

Jurucakap polis, Bayron Sauceda berkata, pengawal pada mulanya perasan cara berjalan ‘wanita’ itu yang pelik kerana Argueta tidak biasa memakai kasut tinggi.


The Telegraph melaporkan, Argueta yang dipenjarakan kerana membunuh dan kesalahan senjata api itu kini terpaksa menghadapi hukuman tambahan selepas cubaan melarikan diri dari penjara.

Banduan tersebut boleh dipindahkan ke penjara El Pozo iaitu penjara yang paling bahaya di Honduras. – MYNEWSHUB.CC

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments