Thursday 9 March 2017

Konflik Korea Utara: Solat hajat di seluruh negara esok


KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom hari ini menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya berdoa agar dikurniakan keselamatan dan kesejahteraan serta perlindungan kepada Malaysia yang sedang berhadapan ketegangan hubungan diplomatik dengan Korea Utara.

Ini ekoran daripada penahanan 11 orang rakyat Malaysia di sana.

“Saya meminta semua masjid utama Jakim iaitu Masjid Negara Kuala Lumpur, Masjid Putra Putrajaya dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya serta semua masjid dan surau Jumaat di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mengadakan solat hajat selepas Solat Jumaat bermula esok sehingga kemelut ini selesai,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Beliau juga memohon kerjasama dan jasa baik pihak Majlis Agama Islam Negeri-Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri di seluruh negara agar turut mengadakan solat hajat di semua masjid di negeri masing-masing bermula pada tarikh berkenaan bagi mendoakan keselamatan dan perlindungan kepada Malaysia dan seluruh rakyatnya.

“Saya menyeru semua umat Islam di seluruh negara agar dapat beramai-ramai menunaikankannya.

“Kita amat berharap konflik ini dapat diselesaikan dengan baik serta rakyat Malaysia di Korea Utara dapat kembali ke tanah air dengan selamat,” katanya lagi. – Sarawakvoice

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments