Wednesday 6 December 2017

Jangan Sesekali Burukkan Orang Lain – Awie


PERSENGKETAAN yang berlaku antara bekas vokalis kumpulan rock Kristal, Lan serta ahli kumpulan yang lain nampaknya memberi kesan kepada penyanyi Awie.

Mana tidaknya, Awie yang juga vokalis kumpulan Wings itu antara orang yang bertanggungjawab mendidik Kristal menjadi penyanyi kumpulan rock yang disegani sehingga kini.

Namun, akuinya perkara tersebut merupakan lumrah bagi penyanyi berkumpulan seperti Kristal. Tetapi, Awie menyatakan walau apa jua masalah seharusnya diselesaikan secara baik sesama mereka.

“Saya selalu berpegang kepada perkara ini, jika tidak diselesaikan secara baik dari peringkat awal, memang akan berlarutan macam ni. Ada masalah sesama anggota, jangan sesekali libat orang luar.

“Maklumlah orang luar ramai yang jadi ‘tukang cucuk’ yang akhirnya membawa kepada kemusnahan. Kalau berjumpa bertemu mata, itu lebih baik.

“Luahkan apa sahaja rasa ketidakpuasan hati secara terus. Setelah itu, pandai-pandailah membawa diri,” katanya dipetik laporan sebuah akhbar tempatan.

Tambahnya lagi, anggota kumpulan Kristal itu sepatutnya duduk berempat bertentang mata dan tidak memendam. Baginya, tindakan tersebut akan mengeruhkan lagi keadaan.

“Kalau ada masalah kena suarakan terus. Jangan pendam terlalu lama, kalau ‘meletus’ segala benda akan diceritakan.

“Kalau ini jalan terbaik, bawalah jalan masing-masing tapi jangan sesekali burukkan orang lain. Saya sendiri sudah berpengalaman berhadapan dengan isu macam ni,”katanya lagi.

Dalam pada itu, Awie menyatakan mereka berempat boleh pergi jauh dalam industri. Ini kerana menurutnya, Lan mempunyai banyak pengalaman dan boleh membantunya dalam bergelar penyanyi solo kelak.

Ahli Kristal yang lain pun tidak kurang hebatnya. Seperti Rody, dia antara gitaris yang disegani di Malaysia, cuma mereka perlu mencari pengganti Lan untuk sama-sama meneruskan karier mereka sebagai kumpulan rock.

“Masing-masing sudah dewasa dan tahu apa yang dilakukan. Kalau ini jalan terbaik, belajarlah erti perpisahan,” pesan Awie.

Terdahulu, Lan telah membuat keputusan mengundurkan diri dari kumpulan yang berusia 18 tahun itu selepas ahli-ahlinya yang lain ingin mencari vokalis baharu buat kumpulan itu. – MYNEWSHUB.CC/SA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments