Sunday, 19 February 2017

PRK: BN Kekal Tanjung Datu, Majoriti 6,443 Undi


LUNDU – Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu apabila calonnya, Puan Sri Jamilah Anu diisytiharkan memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) di situ.

Keputusan diumumkan Pengurus PRK Tanjung Datu, Hamsein Atar di Dewan Masyarakat Lundu di sini kira-kira pukul 7.57 malam Sabtu apabila menyaksikan BN memperoleh 6,573 undi dengan majoriti besar 6,443 undi.

Manakala lawannya iaitu calon Parti Reformasi Negeri Sarawak (Star), Johnny Aput cuma mendapat 108 undi dan seorang lagi calon, Rapelson Richard Hamit dari Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baru memperoleh 130 undi.

Ini turut menyaksikan kedua-dua calon tidak dikenali tersebut kehilangan wang deposit pilihan raya. Peratusan keluar mengundi ialah 69.2 peratus atau 6,891 pemilih berdaftar dengan mencatatkan hanya 80 undi rosak.

Ia agak rendah sedikit berbanding jangkaan sebelumnya lebih 70 peratus susulan ramai pengundi khasnya di luar kawasan menjangkakan BN bakal menang mudah dan mengambil sikap untuk tidak datang membuang undi.

Dalam pilihan raya Sarawak ke-11 pada tahun lalu, penyandangnya iaitu Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem meraih 6,360 undi dengan majoriti 5,892 undi mengalahkan wakil PKR, Jazolkipli Numan sekadar 468 undi.

PKR bagaimanapun tidak meletakkan calon untuk PRK ini kerana menyedari sentimen sokongan kuat pengundi terhadap BN. Tiada isu besar dimainkan wakil pembangkang sama ada isu GST, BR1M, 1MDB dan seumpamanya.

PRK Tanjung Datu diadakan susulan kematian secara mengejut Allahyarham Adenan dalam usia 72 tahun, akibat komplikasi penyakit jantung pada 11 Januari lalu, di Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan dekat Kuching.

Sebelum ini, seramai 188 pengundi atau 1.9 peratus daripada keseluruhan 9,959 pengundi telah pun menunaikan tanggungjawab mereka mengundi di dua buah pusat pengundian awal yang dibuka pada 12 Februari lepas.

Jamilah, 61, yang juga merupakan balu Adenan, dipilih sebagai calon daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), iaitu parti teras yang memerintah gabungan komponen BN Sarawak. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments