Wednesday, 22 February 2017

Pembunuhan Jong-nam… mengapa KLIA, Malaysia?


SEOUL: The Star yang dipetik Okezone pada Selasa melaporkan pandangan ahli akademik Go Myung-hun di Seoul, Korea Selatan bahawa pembunuhan Kim Jong-nam di Malaysia merupakan peringatan penting terhadap elit Korea Utara yang sedang berfikir jika mahu membelot terhadap negara tersebut.

Myung-hun dari Asian Institute berkata, pembunuhan tersebut menunjukkan kepada elit Korea Utara bahawa jika mereka mahu membelot, ada pihak sedia mengatur kehadiran ejen mereka walaupun di Malaysia.

“Mereka mengawasi siapa yang datang dan siapa yang pergi,” ujar peneliti di Asian Institute itu lapor The Star.

Myung-hun dilaporkan berkata Korea Utara ingin memperingatkan para pembelot yang ingin transit melalui Malaysia, bahawa ada risiko tinggi bagi mereka jika menggunakan Malaysia sebagai titik transit.

Beliau juga menjelaskan, pembunuhan mungkin dilakukan di Malaysia kerana memiliki risiko politik yang lebih kecil berbanding Macau, China, atau Singapura, atau tempat lain ketika Jong-nam berada.

Myung-hun berkata, ia tidak perlu dilakukan di China kerana pihak yang melakukan serangan mungkin tidak mahu menjejaskan hubungan atau menimbulkan sebarang konflik yang dirasakan tidak perlu dengan China.

Demikian juga halnya dengan Singapura, serangan tidak dilakukan di situ yang merupakan penghubung kawasan Asia yang sangat penting bagi jaringan ekonomi luar negara.

Mengapa Malaysia? Ahli akademik tersebut berkata, Malaysia jadi pilihan kerana ia memiliki hubungan cukup baik dengan Korea Utara.

Bahkan, antara kedua-dua negara mengamalkan program bebas visa kunjungan menurut Myung-hun.

Sepanjang 1988-2015, dilaporkan lebih 28,000 warga Korea Utara membelot memasuki Korea Selatan.

Mereka menggunakan modus operandi dengan keluar dari Pyongyang lalu memasuki dunia ketiga khususnya negara Asia Tenggara.

Selepas itu mereka memasuki dan diterima Seoul di Korea Selatan.

Sementara, perkaitan itu dapat dilihat kenyataan Penganalisis Keselamatan dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Prof Dr Mohd Kamarulnizam Abdullah menyentuh tentang suara lantang Duta Besar Korea Utara di Malaysia Kang Chol terhadap siasatan pembunuhan Jong Nam.

Memetik Astro Awani pada Selasa, Kamarulnizam berkata, “mungkin ada kebenarannya Duta Besar sekarang terpaksa menjadi lebih lantang bagi menunjukkan beliau menjalankan tugas untuk kerajaan Korea Utara.”

Menurut Kamarulnizam, bagi memastikan dirinya tidak dilihat sebagai boneka yang digunakan Malaysia atau tidak aktif dalam memperjuangkan hak Korea Utara dalam isu ini, Kang terpaksa vokal dalam hal ini.

Kamarulnizam turut menggunakan contoh bekas Duta Besar Korea Utara ke Malaysia Jang Yong Chol yang dihukum tembak sehingga mati oleh rejim itu pada 2014 selepas dipanggil balik dari Kuala Lumpur.

Kang sebelum ini mendakwa Malaysia berpakat dan bersekongkol dengan kuasa luar dalam penyiasatan ke atas kematian Jong Nam.

Kang turut mendesak untuk menyertai siasatan bersama berhubung kematian Jong Nam, susulan menyatakan kurang yakin dengan siasatan dibuat Polis Diraja Malaysia (PDRM). – Sarawakvoice

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments