Canberra: Penjawat awam Australia yang menerima gaji paling banyak meletak jawatan hari ini, dua minggu selepas muncul berita beliau menerima gaji AU$5.6 juta (RM19.2 juta) setahun.
Pengarah Urusan Pos Australia, Ahmed Fahour, menyatakan beliau meletak jawatan dalam syarikat kiriman kebangsaan itu pada hari yang sama agensi berkenaan mengumumkan keuntungan AU$131 juta (RM500 juta) untuk enam bulan sehingga Disember tahun lalu.
Keuntungan itu lonjakan besar berbanding keuntungan AU$16 juta (RM55 juta) bagi tempoh sama pada 2015.
Ahmed, 50, ahli perbankan kelahiran Lubnan itu berkata, beliau meletak jawatan selepas berjaya mengubah Pos Australia daripada perkhidmatan kiriman tradisional menjadi perniagaan bungkusan dan dagangan elektronik sepanjang tujuh tahun diterajuinya.
Beliau menegaskan peletakan jawatannya bukan kerana pendedahan jumlah gaji.
Awal bulan ini, jawatankuasa Senat mengumumkan gaji Ahmed walaupun dibantah Pos Australia yang tidak mahu pendedahan itu menjejaskan imej korporatnya.
Pendapatan AU$4.4 juta (RM15 juta) serta bonus tahunan AU$1.2 juta (RM4.1 juta) Ahmed itu 10 kali ganda lebih tinggi berbanding gaji Perdana Menteri Australia iaitu AU$507,000 (RM1,74 juta) setahun.
Jumlah gaji Ketua Pegawai Eksekutif Perkhidmatan Pos Amerika Syarikat, Megan Brennan, pada tahun lalu, ialah AS$286,137 RM1.27 juta).
Menurut Ahmed, Pos Australia tidak sewajarnya dibandingkan dengan Perkhidmatan Pos Amerika Syarikat yang mencatat kerugian AS$20 juta (RM89 juta) setahun sejak beberapa tahun lalu.
Perdana Menteri Australia Malcolm Turnbull, bekas ahli bank perdagangan yang mempunyai harta dianggar lebih AU$200 juta (RM686 juta) berkata gaji Ahmed itu terlalu tinggi.
Penjawat awam Australia yang kedua tertinggi gaji selepas Ahmed ialah CEO syarikat milik negara NBN (National Broadband Network) Co, Bill Morrow, yang menerima AU$3.6 juta (RM12.4 juta) tahun lalu, termasuk bonus AU$1.2 juta (RM4.1 juta). - Mymetro
No comments:
Write comments