Sunday, 12 February 2017

Kongsi gelap kini cuba jadi ‘ahli perniagaan’


KUALA LUMPUR: Seperti filem mafia Godfather, beberapa geng kongsi gelap India kini cuba menjalankan beberapa perniagaan – ketika mereka tidak mengedar dadah atau mengganggu orang.

Masalahnya ialah, perniagaan yang mereka jalankan masih haram atau melakukan aktiviti tidak sah, seperti syarikat keselamatan dan pengubahan wang haram.

Selama ini kumpulan kongsi gelap Cina turut melakukan perkara sama, malah ada yang membeli dan menjalankan perniagaan.

Antara syarikat kumpulan kongsi gelap terkenal ialah Ghee Hin dan Hai San, yang saling bersaing di utara semenanjung.

Dalam satu temu bual dengan FMT, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa berkata sesetengah geng India, terutama Gang 360, mendominasi kawasan Lembah Klang, kini mula menjalankan lebih banyak aktiviti sah.

Gang 360 berubah daripada hanya “geng samseng” – gelaran biasa diberikan polis kepada pengedar dadah atau mereka yang memeras ugut atau meminta wang perlindungan – kepada menubuhkan syarikat keselamatan haram dan syarikat lain untuk mengubah wang.

Rohaimi berkata geng India bukan saja membuka syarikat keselamatan haram, tetapi mereka juga cuba menjalankannya secara profesional, meletakkan wang dan menyediakan staf lebih berkualiti dalam usaha menjadikan perniagaan itu sah.

Tetapi keadaan itu juga menyebabkan kongsi gelap semakin kompetitif, menyebabkan pergaduhan geng.

Dua tahun lalu, 2 kumpulan bergaduh untuk mendapatkan kontrak keselamatan di Bandar Bukit Raja di Klang.

Dalam satu serangan, 5 ahli kongsi gelap bersenjata parang menyerang 3 rumah pengawal. Seorang pengawal keselamatan dibakar sehingga mati manakala 6 yang lain cedera.

Walaupun dengan perubahan baharu daripada kongsi gelap kepada perniagaan sah, geng India kekal menjadi paling dominan dalam negara.

Tetapi, mereka berdepan persaingan baharu daripada orang asing.

“Sekarang denga globalisasi dan kemasukan warga asing, geng imigran juga mula turut serta dalam keadaan itu dan ada masanya bersaing dengan geng India.

“Warga asing datang ke sini untuk bekerja dan kelangsungan hidup. Mereka mula berkumpulan dan seterusnya melakukan peras ugut dan wang perlindungan,” katanya.

Rohaimi berkata dalam kes geng kongsi gelap warga asing, geng Myanmar menjadi ancaman terbesar kerana mereka agak tersusun, meskipun tidak seperti geng tempatan. Mereka juga tidak ada senjata api, seperti geng tempatan.

“Kami sudah mengambil tindakan sebelum ini dan ramai yang lari. Kebimbangan sekarang ialah mereka mula berkumpul semula,” katanya dan antara geng yang terlibat ialah Geng Aton dan Geng Chinggey.

Beliau berkata geng warga asing kebanyakannya membabitkan pekerja asing termasuk komuniti pekerja asing dan di pasar borong Selayang, yang mana ia menjadi kawasan terkenal.

Kebanyakannya mereka mengedar dadah, memeras ugut pekerja asing tanpa izin, peniaga dan pekerja warga asing juga.

“Pasar, terutama yang besar seperti pasar borong Selayang menjadi kawasan yang menguntungkan dan menjadi rebutan geng untuk mengawalnya.

“Siapa yang kawal pasar itu akan bergantung pada warganegara dan bangsa majoriti pekerja.

“Kami selalu bimbangkan pasar Selayang kerana semua hendak mengawalnya, termasuk geng India tempatan. Jadi ancaman utama ialah perang kumpulan,” katanya.

Jun lalu, akhbar The Sun melaporkan sejumlah besar pelarian Myanmar di pasar Selayang membentuk kumpulan kongsi gelap dan terbabit dalam memeras wang perlindungan serta menculik dan membunuh. - FMT

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments