BERLIN: Kumpulan pemantau rasmi di Jerman meminta ibu bapa supaya memusnahkan anak patung Cayla yang mampu bertutur, selepas mendapati teknologi pintar yang dimilikinya mampu mendedahkan data peribadi pemiliknya.
Amaran itu dikeluarkan oleh Agensi Rangkaian Persekutuan (Bundesnetzagentur), yang memantau perkhidmatan telekomunikasi.
Ia berikutan hasil penyelidikan yang mendapati penggodam boleh menggunakan peranti bluetooth yang dipasang dalam anak patung itu, untuk mendengar dan bercakap dengan kanak-kanak yang bermain dengannya.
Setakat ini, pengeluar anak patung itu, Genesis Toys masih belum mengeluarkan kenyataan berhubung amaran terbabit.
Kumpulan The Vivid Toy yang mengedarkan patung My Friend Cayla, sebelum ini pernah dilaporkan berkata, kes godam itu adalah terpencil dan dilakukan oleh pakar.
Bagaimanapun, mereka memberi jaminan akan menyiasat perkara itu, kerana mereka boleh menaik taraf aplikasi yang digunakan di dalam patung berkenaan.
Namun, pakar memberi amaran bahawa masalah itu masih belum diatasi sepenuhnya.
Difahamkan, patung Cayla mampu memberi maklum balas terhadap soalan yang dikemukakan yang diakses menerusi internet.
Contohnya, jika kanak-kanak itu bertanya 'kuda kecil dipanggil apa', patung akan menjawab 'anak kuda'.
Kelemahan pada perisian yang digunakan pada Cayla mula didedahkan pada Januari 2015.
Malah, aduan mengenainya sudah dibuat oleh kumpulan pengguna di Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah.
Sementara itu, media melaporkan, mengikut Undang-Undang Jerman, adalah satu kesalahan jika menjual atau memiliki peralatan pengawasan.
Jika sabit kesalahan pesalah boleh dikenakan hukuman penjara hingga dua tahun.
Amaran oleh Agensi Rangkaian Persekutuan dikeluarkan selepas pelajar Universiti Saarland, Stefan Hessel membangkit implikasi undang-undang mengenai My Friend Cayla. - BBC
No comments:
Write comments