Sejurus selepas mendapati keretanya telah dilanggar, Zhanmin berasa sangat marah. Xue Zhanmin ialah seorang pengerusi syarikat Shaoxing Manulife Environmental Protection Technology dan telah meletakkan kenderaannya di bahu jalan pada satu hari.
Namun, apabila dia kembali ke keretanya pada hari insiden tersebut, dia naik berang apabila mendapati cermin belakang keretanya pecah serta pintu dan bahagian belakang keretanya tercalar.
Pada mulanya dia menyangka pesalah yang merosakkan keretanya telah melarikan diri, sehinggalah dia terjumpa wang dan nota yang ditinggalkan Yifan.
Wang sejumlah 311 yuan (RM 201.47) dilihat ditinggalkan bersama sepucuk surat yang berkata, “Hello pak cik, saya telah menyebabkan cermin belakang kereta pak cik pecah. Saya berasa sangat malu dan tidak senang hati tentang insiden ini.
“Saya seorang pelajar di sebuah biro perlombongan dan sedang bekerja pada waktu cuti. Bersama nota ini saya sertakan sejumlah wang sebagai pampasan. Saya tahu ianya tidak mencukupi tetapi itu sahaja wang yang saya ada, harap maaf.”
Setelah membaca surat yang ditinggalkan Yifan, Zhanmin berlembut hati. Kos untuk membaiki kerosakan akibat insiden itu hanyalah jumlah yang kecil baginya, tetapi bagi remaja ini tentu ianya jumlah yang besar.
Zhanmin membuat keputusan untuk mencari remaja yang jujur dan berani tersebut, lalu dia meminta bantuan pihak polis.
Pada satu temubual dengan pihak media, Zhanmin menjelaskan:
“Anak jujur, di mana kamu? Anda tidak perlu risau, kereta itu sudah dibaiki. Saya cuma mahu mencari kamu dan memulangkan wang kamu. Sekiranya kamu sedang mengalami kesusahan, saya boleh membantu kamu sehingga kamu menamatkan pengajianmu dan pada masa hadapan.”
Bagi mencari remaja ini, pihak polis telah memeriksa rakaman kamera litar tertutup dan mendapati dia sering dijumpai di kawasan Mi West Street berdekatan sebuah balai polis di sana.
Lalu pasukan polis yang mencari remaja ini melakukan perbandingan foto berdasarkan maklumat yang mereka temui dan mendapati nama remaja yang dicari-cari mereka selama ini bernama Chen Yifan yang tinggal di kawasan Chuk Yuen bersama datuknya.
Apabila pencarian tersebut dilaporkan di saluran-saluran media, hati Chen Yifan, remaja yang terlanggar kereta Zhanmin itu, mula berasa resah. Dia tidak menyangka insiden tersebut akan tersebar luas seperti ini.
Pada waktu kejadian, dia telah mengambil nombor telefon pemilik kereta mewah itu yang terpapar dari dalam kereta agar dia boleh menghubungi Zhanmin untuk membayar ganti rugi pada masa hadapan, jadi remaja ini tidak memberitahu ibu bapanya tentang insiden berkenaan.
Ibu bapa Yifan bekerja di wilayah Changchun. Apabila remaja itu terbaca akan laporan berita tentang insiden yang melibatkannya, dia mula menelefon ibunya untuk menjelaskan bahawa dia kini sedang menghadapi masalah dan tidak tahu apa yang harus dilakukannya.
Setelah mendengar keluhan anaknya itu, ibunya bergegas pulang lalu menghubungi dan bertemu dengan Xue Zhanmin.
Ibu Yifan dan Zhanmin kemudiannya bertemu di sebuah stesen petrol. Si ibu berkata dia akan membayar segala tuntutan ganti rugi, tetapi Zhanmin menolak pelawaan ibu Yifan itu.
Zhanmin menjelaskan bahawa dia tidak memerlukan wang tersebut. Dia hanya tersentuh dengan kejujuran Yifan dan kini dia sedia membantu pelajar itu.
Xue Zhanmin kemudiannya menghantar anak perempuannya ke rumah Chen Yifan untuk memberikan wang sejumlah 10 000 yuan (RM 6 478.15) untuk menampung kos pengajian remaja itu.
Namun, Yifan dan keluarganya tidak sampai hati untuk menerima wang tersebut. Kata Yifen, “Saya yang bersalah dan kini hati saya sangat gusar. Saya sudah cukup bersyukur kerana tidak perlu membayar wang ganti rugi. Bagaimana pula saya boleh menerima wang ini?”
Anak perempuan Zhanmin kemudiannya menjelaskan bahawa wang tersebut ialah komitmen ayahnya untuk menyara kos pembelajaran Yifan. Sekiranya Yifan masih bertegas mahu membayar ganti rugi tersebut, dia boleh berbuat demikian setelah dia tamat pengajiannya.
Setelah didesak keluarga Zhanmin dan pihak polis untuk menerima wang sagu hati itu, Yifan akhirnya menerimanya.
Menurut ibu Yifan, dia juga mempunyai dua orang anak perempuan yang perlu disara. Dia dan suaminya mencari pekerjaan di luar bandar. Mereka membanting tulang demi mencari nafkah yang tidak seberapa.
Mungkin sebahagian besar daripada kita tidak akan menerima ganjaran seperti yang diberikan kepada Yifan. Tetapi apa yang boleh kita contohi ialah kejujuran dan keberanian Yifan yang sanggup mengakui kesalahannya walaupun mengetahui dia bakal menghadapi kesukaran di masa hadapan. - Era Baru
No comments:
Write comments