KOREA Utara nampak panik sekali dengan kematian Kim Jong-nam. Reaksi panik Pyongyang diluahkan di Kuala Lumpur. Duta Besar Korea Utara, Kang Chol dengan penuh prejudis melahirkan rasa tidak percaya terhadap siasatan polis.
Kang Chol menyimpulkan semua prasangka Pyongyang dengan tuduhan: Tindakan Kuala Lumpur sebagai tidak adil dan bertentangan dengan apa yang telah dibincangkan sebelum ini.
“Sudah tujuh hari insiden itu berlaku, tetapi masih tiada bukti jelas mengenai punca kematian dan pada masa ini kami tidak boleh mempercayai siasatan oleh polis Malaysia walaupun keputusannya akan diperolehi.
“Ia hanya akan menambah keraguan bahawa mungkin ada pihak lain yang terlibat di sebalik siasatan itu,” katanya ketika membacakan kenyataan media kepada pemberita di pejabat Kedutaan Besar Korea Utara di sini, Isnin.
Kang Chol menyatakan semua kemarahannya melalui kenyataan lima helaian.
Selain mencela proses siasatan dan prosedur serahan mayat, Kang Chol juga menuduh wujudnya konspirasi dan campur tangan kuasa asing dalam mempengaruhi pendirian Kuala Lumpur.
“Ini jelas menunjukkan siasatan oleh polis Malaysia bukan untuk mendapatkan penjelasan mengenai punca kematian dan mencari suspek, sebaliknya mempunyai matlamat politik.”
Kang Chol memulakan langkah mencetuskan perang saraf bagi memancing reaksi marah Kuala Lumpur. Sesuatu yang aneh ketika keputusan siasatan dan bedah siasat belum diumumkan.
Kang Chol lebih agresif menyerang proses siasatan di negara ini, ketika Korea Selatan dan Jepun secara terbuka lebih dahulu menuduh Pyongyang bertanggung jawab sebagai dalang pembunuhan Jong-nam.
Ini ketakutan yang boleh diramal. Kang Chol menyedari reputasi dirinya sebagai Duta Besar Korea Utara sangat diuji dan diperhatikan Pyongyang. Kesilapan menangani isu ini boleh menjadikan dirinya mangsa seterusnya melalui pembunuhan menggunakan roket anti pesawat.
Untuk makluman, Duta Besar Korea Utara sebelum ini, Jang Sung-taek yang juga bapa saudara Presiden Kim Jong-un, dibunuh dengan menggunakan roket anti pesawat pada 2013 kerana disyaki cuba membelot dan menyokong Jong-nam.
Sejak berkuasa pada 2011, Jong-un sudah membunuh 340 musuh politiknya. Satu simpton paranoia yang menjadikan presiden generasi ketiga Dinasti Kim itu turut tidak disenangi sekutunya di Beijing.
Malah, kegilaan Jong-un melancarkan pelbagai siri ujian peluru berpandu tanpa mempedulikan protes negara jiran dan suara antara bangsa adalah gambaran jelas sikap Pyongyang yang tidak reti berbudaya diplomatik.
Kang Chol antara DNA stereotaip spesis penjawat diplomatik bikinan Pyongyang. Watak agresif dan sentrik diri yang tidak menghormati negara lain.
Kuala Lumpur tidak perlu gentar dengan pelbagai tuduhan Kang Chol. Anggaplah ia suara salakan diplomatik dari negara pelik yang dibenci oleh seluruh dunia kerana kezaliman dan sikap provokasi melampau.
Dia hanya badut dari Pyongyang. Apa ada dengan Korea Utara?
Hanya kezaliman dan kekacauan. Kita tidak akan rugi apa-apa. Melainkan menghantar pulang suara salakan diplomatik yang mencemarkan Kuala Lumpur. - Mynewshub
No comments:
Write comments