MADRID – Penyerang sensasi Real Madrid, Cristiano Ronaldo bakal berdepan hukuman berat kerana tindakannya menolak pengadil ketika aksi pertama Piala Super Sepanyol, lapor agensi berita China Xinhua.
Pemain berusia 32 tahun itu dikatakan menolak pengadil De Burgos Bengoetxea sebelum beredar meninggalkan padang selepas dilayangkan dua kad kuning.
Di bawah Artikel 96 Peraturan Permainan Sepanyol jelas menyatakan “menarik, menolak atau menggasak terhadap pengadil, walaupun tanpa agresif boleh disabitkan hukuman digantung perlawanan antara empat hingga 12 perlawanan.”
Ronaldo yang sekadar sempat beraksi selama 24 minit dilayangkan dua kad kuning kerana membuka baju ketika meraikan gol jaringannya pada minit ke-80 dan sengaja menjatuhkan badannya untuk mendapatkan tendangan penalti ketika diasak pemain pertahanan Barcelona, Samuel Umtiti pada minit ke-82.
Kedua-dua kad kuning berkenaan boleh mengakibatkan Ronaldo digantung satu perlawanan.
Susulan tindakan itu, Ronaldo berkemungkinan hilang peluang beraksi di Stadium Santiago Bernabeu pada Rabu dan juga tiga perlawanan pertama musim Liga Santander yang bermula hujung minggu ini.
Perlawanan penuh drama tersebut berakhir dengan Real Madrid menundukkan Barcelona menerusi jaringan 3-1. – BERNAMA
No comments:
Write comments