DUNGUN – Seorang ibu tunggal maut selepas digilis lori tanah di Persimpangan Che Lijah, Jalan Dungun-Bukit Besi di sini, pagi tadi.
Marini Ismail, 53, yang tinggal di perumahan Taman Rakyat Jaya di sini, cedera parah di kepala dan meninggal di tempat kejadian kira-kira jam 10.20 pagi tadi.
Lori tanah terbabit dikatakan berhenti di simpang tiga manakala mangsa yang menunggang motosikal berada di belakang.
Pemandu lori itu dipercayai terkejut melihat kehadiran sekumpulan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengadakan sekatan jalan, lalu mengundurkan kenderaannya.
Tindakannya itu membuatkannya melanggar motosikal ditunggang mangsa sebelum menggilis wanita malang itu.
Orang ramai yang berada berhampiran bergegas untuk membantu, namun mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub, ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
“Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Dungun untuk proses seterusnya,” katanya.
Difahamkan, pemandu lori berkenaan sudah membuat laporan polis.
Ahmad Zailani berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan sehingga menyebabkan kematian. – BH Online
No comments:
Write comments