BEIJING – Seorang usahawan China sanggup beli 5,000 mangkuk mi untuk diderma kepada orang ramai setelah cincin pertunangannya yang hilang ditemui dan dikembalikan pengurus restoran itu.
Menurut media tempatan, lelaki dari Guangzhou yang hanya dikenali sebagai Wang itu mengunjungi Chongqing untuk lamar kekasihnya, tetapi tertinggal beg di luar restoran yang menjual mi selepas menjamu selera di sana.
Secara kebetulan dalam beg tersebut pula ada mengandungi sebutir cincin berlian 3-karat yang bernilai lebih 300,000 yuan (kira-kira RM193,00) untuk tunangnya itu, menurut laporan akhbar Chongqing Morning Post.
Mujur seorang penduduk tempatan yang jujur terlihat beg tersebut dan mengambilnya sebelum menyerahkannya kepada pengurus restoran, yang kemudian segera bertindak memulangkannya semula kepada Wang.
Dalam sepucuk surat yang dikirimkan kepada pihak restoran berkenaan pada Isnin lalu, Wang berkata beliau akhirnya dapat melamar buah hatinya itu, disebabkan budi baik daripada penduduk tempatan sendiri.
“Di Chongqing, terdapat seorang wanita yang saya cintai dan juga ramai orang yang cukup baik hati. Saya berbesar hati dan gembira,” menurut Wang dalam surat tersebut yang dipetik oleh akhbar setempat.
Pada keesokan harinya iaitu 15 Ogos, orang ramai dilihat beratur sepanjang 100 meter di luar restoran berkenaan untuk mendapatkan hidangan mi pedas masam secara percuma, lapor South China Morning Post.
“Saya rasa kisah ini begitu menyentuh hati,” seorang penduduk tempatan memberitahu wartawan. Nilai keseluruhan mangkuk mi tersebut ialah 35,000 yuan (kira-kira RM22.500). – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
No comments:
Write comments