SEORANG juru dandan rambut berjaya memenangi hati netizen apabila dia berkongsi kisah salah seorang pelanggannya yang juga remaja perempuan yang berdepan dengan masalah tekanan yang teruk.
Kayley Olsson, dari Iowa, Amerika Syarikat, telah berkongsi gambar rambut seorang remaja berusia 16 tahun dalam Facebooknya.
Ketika remaja itu datang ke salonnya, dia meminta supaya dibotakkan kepalanya. Gadis itu menceritakan bagaimana dia berhenti menyikat rambut selepas mengalami tekanan dan meminta agar dicukur sahaja rambutnya itu.
Namun Kayley enggan sebaliknya dia menghabiskan masa selama 13 jam pada hari itu dan dua hari berturut-turut untuk membaiki semula rambut gadis berkenaan. Gadis itu mahu mengambil gambar untuk album sekolahnya.
“Ia merupakan pengalaman paling sukar bagi gadis berkenaan di mana pada satu tahap dia rasa sangat tertekan dan tidak berguna hingga enggan lagi menyikat rambut.
“Dia ceritakan kepada saya dia hanya bangun untuk ke tandas dan akan memulakan semula sekolah dalam masa beberapa minggu tetapi dia perlu mengambil gambar untuk album sekolahnya dulu.
“Apabila dia masuk ke salon dan memberitahu supaya potong semua rambutnya, saya tidak boleh membayangkan kesakitan yang dialaminya,” kata Kayley.
Kayley kemudiannya cuba sebaik mungkin untuk memelihara rambut gadis berkenaan supaya ia menjadi pengajaran kepada orang lain.
Dia bekerja keras bersama dengan rakan sekerjanya dan akhirnya gadis itu mampu tersenyum apabila melihat rambutnya.
“Bahagian yang menariknya ialah apabila gadis itu memberitahu saya bahawa dia akan senyum untuk album sekolahnya hari ini,” kata Kayley. – MYNEWSHUB.CC
No comments:
Write comments