Monday, 14 August 2017

6 Petugas Berswafoto Dikenakan Tindakan


KAHERAH – Enam petugas perubatan dikenakan tindakan disiplin selepas mereka berswafoto di hadapan kereta api yang remuk dalam pelanggaran di bandar Iskandariah Khamis lalu.

Menurut laporan, keenam-enam petugas itu ditukarkan ke kawasan pedalaman semalam selepas gambar mereka berswafoto tular di media sosial mengundang kecaman orang ramai.

Dua buah kereta api berlanggar di bandar pantai Mediterrean itu Khamis lalu, menyebabkan 41 orang terbunuh, antara kemalangan paling buruk pernah berlaku di Mesir.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Kecemasan Kementerian Kesihatan Mesir, Ahmed al-Ansarui memberitahu wartawan, enam kru ambulans itu sudah ditukarkan ke Oasis Siwa, kawasan subur di tengah padang pasir di barat Mesir, kira-kira 560 kilometer dari Kaherah.

“Ia kelakuan tidak senonoh. Mereka perlu dikenakan tindakan disiplin,” katanya.

Gambar yang viral di media sosial menunjukkan petugas itu berswafoto menggunakan telefon bimbit dengan gerabak kereta api yang musnah menjadi latar belakang.

Sebahagian besar pengguna media sosial mengecam tindakan mereka dengan menyifatkan petugas itu tidak sensitif terhadap perasaan keluarga mangsa. – Agensi/myMetro Online

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments