Saturday, 18 March 2017

Lagi Kereta Lawan Arus, Kali Ini Di Kajang Pula


SELEPAS negara kita gempar dengan insiden nahas berdarah melibatkan kes pemandu melawan arus di Pulau Pinang, kali ini ada pula yang cuba buat aksi sama tetapi di Kajang, Selangor pula.

Rakaman video eksklusif ‘drama’ tersebut disiarkan menerusi laman Facebook Info Roadblock JPJ/Polis lewat Jumaat yang setakat jam 5 petang pada hari sama sudah pun disaksikan lebih daripada 2,000 tontonan.

Menurut kenyataan pentadbir akaun media sosial itu, insiden dilaporkan berlaku di Lebuhraya Grand Saga Cheras-Kajang berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Bukit Dukung, Balakong dari ibu negara menuju ke arah Semenyih.

Menerusi video itu, kereta jenis hatchback berwarna merah tersebut dipercayai model Ford Fiesta kelihatan dipandu agak laju kira-kira lebih 60 kilometer sejam di lorong memotong tanpa menyalakan sebarang lampu kecemasan.

Video berdurasi selama 19 saat itu bagaimanapun tidak memaparkan kesudahan aksi ‘drama’ tersebut sama ada si pemandunya terlibat dalam kemalangan pertembungan atau bernasib baik terselamat daripada kes kecelakaan.

Namun ada juga netizen memuat komen menyatakan konon ia adalah laluan kontra tetapi dakwaan tersebut agak pelik kerana tiada sebarang kon berwarna merah diletakkan di laluan berkenaan dan ia juga bukan waktu puncak.

Selasa lalu, seorang remaja Cina, Ng Pei Ven menyebabkan seorang juruteknik kilang, Mohd. Fandi Rosli yang habis bekerja untuk balik ke rumahnya; maut dirempuh di Lebuh Raya Utara Selatan PLUS dekat Permatang Pauh.

Suspek berusia 19 tahun itu dilaporkan media sebagai mabuk setelah mengikuti satu parti minuman keras dan cuba dikatakan melarikan diri dengan melawan arus selepas melanggar sebuah kereta lain. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments