MOSCOW – Usaha pembinaan sebuah rumah lazimnya memakan masa yang agak lama dan prosesnya juga rumit waima bersaiz kecil, tetapi itu cerita teknologi dahulu!
Sekarang dengan kewujudan teknologi canggih mesin pencetak secara tiga dimensi atau 3D, percaya atau tidak, sebuah rumah sebenarnya boleh dibina hanya dalam tempoh 24 jam sahaja!
Menurut laporan laman berita Metro, Apis Cor, iaitu sebuah firma yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), berjaya membina sebuah rumah seluas 400 kaki persegi dalam tempoh sehari.
Ia merupakan syarikat pertama yang berjaya membangunkan mesin pencetak 3D mudah alih, sekali gus boleh mencetak sebuah bangunan di lokasi yang dikehendaki. Canggih bukan!
Rumah sebuah, yang berbentuk ibarat igloo masyarakat Eskimo di kawasan pedalaman Kutub Utara; seperti yang boleh dilihat ini, telah dibina berdekatan dengan di ibu kota Rusia, Moscow.
Menurut syarikat itu, bahan-bahan yang digunakan malah boleh bertahan sekurang-kurangnya 175 tahun, dan hanya berharga AS$10,134 (kira-kira RM44,969) – termasuk kos segala kelengkapan asas.
Tidak keterlaluan jika dikatakan ini satu pelaburan sungguh berbaloi kerana bangunan boleh dicetak dalam apa juga bentuk dan saiz. Satu-satunya hambatan pada rekaan sedemikian adalah “hukum asas fizik”.
Apis Cor menyatakan ini adalah kali pertama dalam amalan pembinaan di Rusia, cetakan dibuat sebagai sebuah rumah berbanding panel-panel yang dicetak terlebih dahulu sebelum dipasang kemudian.
Bahagian dalaman bangunan kediaman comel itu pula bahkan kelihatan agak luas. Terdapat satu ruang terbuka, tandas, rumah tamu dan dapur yang kecil tetapi berfungsi penuh cekap.
Syarikat itu menyatakan, pihaknya yakin ini adalah langkah pertama untuk ke pasaran pembinaan masa depan, yang akan tertumpu kepada teknologi cetakan 3D. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
No comments:
Write comments