Wednesday 8 February 2017

Wajib bagi kata laluan media sosial jika mahu memasuki AS

Washington: Kerajaan pimpinan Presiden Donald Trump sedang menimbang untuk mewajibkan pemohon visa ke Amerika Syarikat perlu memberi kata laluan laman media sosial mereka untuk pemeriksaan latar belakang.

Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, John Kelly, berkata syarat itu antara yang sedang dipertimbangkan dalam usaha menapis permohonan bagi mengesan mereka yang mungkin membawa ancaman, terutama pemegang pasport tujuh negara majoriti Islam - Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yaman.

“Kita sedang mencari jalan memperketat tapisan dan mahu mereka memberi kata laluan media sosial.

“Amat sukar menapis permohonan dari tujuh negara itu, namun jika mereka mahu datang kita mahu tahu apa laman web yang dikunjungi dan beri kata laluan mereka.

“Kita mahu tahu apa yang mereka lakukan di internet. Jika mereka enggan, jangan datang ke Amerika Syarikat,” katanya memberitahu Jawatankuasa Keselamatan Dalam Negeri semalam.

Kelly menegaskan kaedah itu belum diputuskan untuk dilaksanakan namun penapisan akan diperketat walaupun itu bermakna kelulusan visa mengambil masa lebih lama.

Tujuh negara terbabit turut berada dalam senarai perintah eksekutif Trump dikenakan sekatan perjalanan sebelum ini yang kini sedang dibicarakan di mahkamah Amerika. - Mymetro

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments