Oleh Zainab
Nama saya Zainab Mai Pampo, 26 tahun. Saya ingin berkongsi diari perceraian saya dengan anda semua.
Saya berkahwin dengan sepupu jauh saya, Abdul Samad, ketika tahun pertama saya berada di universiti. Secara jujur, saya tidak begitu mengenalinya. Kami dipadukan oleh ibu bapa kami. Ramai yang kata saya bertuah dan dia merupakan seorang lelaki yang baik, soleh dan tinggi pengetahuan agamanya. Selain itu, dia juga mempunyai pendidikan yang tinggi dan kerjaya yang bagus di industri minyak dan gas.
Sebelum ini, dia pernah berhasrat mengahwini gadis pilihannya sendiri, namun ditentang oleh keluarga. Si ibu mahu anak tunggalnya itu berkahwin dengan perempuan dari keturunan yang baik dan menolak hasrat Abdul untuk berkahwin dengan gadis pilihannya.
Disebabkan itu juga, ibunya keluar mencari perempuan yang sesuai untuk dijadikan sebagai isteri kepada anaknya dan begitulah ceritanya saya dipilih menjadi isteri kepada Abdul Samad.
Saya tidak tahu yang ibu Abdul dengan ibu saya telah bersetuju untuk menyatukan kami. Saya sendiri tidak tahu yang saya akan bertunang dengannya.
Sebelum itu, saya pulang ke kampung untuk menziarahi datuk dan nenek di Macina. Bila saya pulang, keluarga saya telah menerima pinangan dari keluarga Abdul tanpa pengetahuan saya. Dan begitulah ceritanya saya bertunang dengan lelaki itu.
Tarikh pernikahan kami ditetapkan enam bulan kemudian bermula dari tarikh kami bertunang. Dan dalam tempoh itu juga kami diberi peluang untuk mengenali hati budi masing-masing.
Saya benar-benar terkejut dengan sikap Abdul yang sebenarnya seorang lelaki panas baran. Pernah beberapa kali saya mengadu perkara itu kepada ibu saudara saya tetapi mereka semua berkata,
"Bila awak jadi isteri dia kelak, awak akan mampu mengubah perangainya. Dia akan berubah demi awak." atau,
"Bersabar sajalah dan dia pasti akan berubah selepas berkahwin."
Selepas berkahwin, saya sedar bahawa suami saya bukanlah seperti yang dikatakan sebelum ini. Selepas berkahwin, dia paksa saya berhenti dari universiti. Ibu bapa saya tahu akan perkara ini sebab saya memberitahu mereka tetapi mereka nasihatkan saya akur dan hormat pada kehendak suami. Saya akhirnya terpaksa akur, lagipun syurga di bawah telapak kaki suami.
Abdul berhenti sembahyang, malah sebelum kahwin lagi dia sering mengingatkan saya agar jangan tinggalkan lima waktu. Tetapi dia sendiri benci bersembahyang.
Kami pernah bergaduh sebab saya kejutkan dia untuk bangun solat subuh. Dia sangat marah kerana saya kejutkan dia untuk bangun sehingga saya ditampar dua kali dan diberi amaran agar tidak mengulanginya lagi. Saya menggigil ketakutan. Saya tak pernah ditampar di muka sejak dari kecil, walaupun ibu bapa saya sendiri.
Sejak dari hari itu, suami saya kerap memukul, menampar dan menendang saya. Pada mulanya saya menyangka dia mempunyai masalah di tempat kerja sehingga menyebabkan dia menghadapi tekanan. Tetapi bulan berganti bulan sehinggalah setahun dia kerap membelasah saya dengan lebih teruk dan ganas.
Adakalanya dia akan memukul saya menggunakan tangan sahaja. Jika dia tiada mood, dia akan gunakan tali pinggang, alat pengecas dan lampu untuk memukul saya.
Dia seolah-olah begitu benci melihat saya. Tidak cukup dengan menyeksa saya, dia akan kerap memuji kelebihan bekas kekasihnya di depan muka saya. Adakalanya dia akan berbual dengan perempuan itu dan sengaja membiarkan saya mendengar perbualan mereka.
Tidak cukup dengan itu, dia juga mengkritik yang badan saya tidak setanding dengan bekas teman wanitanya.
"Awak ni hodoh macam babi, pergunakan ibu bapa saya untuk mendapatkan saya. Menjijikkan!" kata Abdul pada saya.
Satu hari, saya mengadu pada ibunya dan menyangka wanita itu akan melindungi saya tetapi saya silap besar. Ibu mertua saya hanya ketawa dan berkata,
"Awak ini betul-betul perempuan degil. Macam mana dia tak pukul awak kalau awak tak provok dia? Isteri yang bijak akan tahu bagaimana menangani mood suami mereka. Atau awak sebenarnya suka dipukul oleh dia?" kata ibu mertua.
Saya terdiam dan tidak percaya yang ibu mertua berkata sedemikian.
"Kalau awak nak hubungan rumah tangga awak berjaya, awak perlu belajar menguruskan suami awak, jadi tiadalah perempuan lain yang akan datang menghampirinya.
"Awak juga perlu bijak menjaga imej suami. Jika awak beritahu kepada orang lain mengenai apa yang awak beritahu pada saya, awak fikir orang lain akan hormat pada suami awak terutamanya ahli keluarga dan kawan-kawan?" katanya lagi.
Saya termenung seketika, apakah betul apa yang diperkatakan oleh ibu mertua? Saya dibelasah sebab saya tidak pandai menguruskan suami? Mungkin saya perlu belajar menjadi isteri yang lebih baik.
Jadi, saya berubah dengan memasak makanan yang sedap, kerap senyum dan elakkan diri dari mendengar perbualan dia dengan bekas kekasihnya. Saya cuba untuk banyak berdiam diri ketika di rumah hampir seminggu dan berjaya. Tetapi, dia sekali lagi memukul saya dengan lebih teruk. Parut di badan bertambah-tambah.
Sejak awal perkahwinan, kami tidur di bilik berasingan dan dia sudah mula memecahkan pintu bilik saya pada waktu malam untuk memaksa saya .... dan adakalanya dia akan merayu pada saya. Saya tidak dapat berbuat apa atau berkata apa, saya rasa sungguh tidak berdaya.
Pernah cuba untuk melawan dan keluar dari rumah tetapi kerap teringat kata-kata ibu mertua yang mahukan saya menelan segala kepahitan itu. Saya mahu menjadi isteri yang baik, yang boleh dibanggakan oleh suami. Saya cuba berusaha tetapi keadaan menjadi semakin buruk.
Satu hari, saya dibelasah dengan teruk dan hampir mati kerana dia berang makanan yang dihidangkan telah basi. Saya baru mahu memohon maaf tetapi ditampar dan terjatuh ke lantai, sebelum ditendang dan dipukul bertubi-tubi.
Pada masa itu, saya baru mengandung beberapa bulan. Saya gunakan seluruh kekuatan yang ada untuk melindungi kandungan ini menyebabkan dia semakin galak menendang saya.
Saya sudah puas mengalami keguguran. Saya takkan biarkan dia bunuh kandungan ini. Tidak sama sekali! Tiba-tiba saya kumpulkan seluruh tenaga dan menolak badannya. Dia terkejut dan tergamam seketika. Saya terus berlari keluar dari rumah menuju ke jalan besar seperti orang gila dengan keadaan rambut terurai, pakaian terkoyak sehingga menampakkan baju dalam, muka lebam, mata lebam.
Orang ramai hanya memandang saya dan tiada seorang pun yang menegur saya melainkan memandang sahaja. Saya lari sejauh yang mungkin tanpa sebarang hala tuju. Saya hanya ingin mati dan mengakhiri segala penderitaan ini dan bebas dari Abdul Samad. Saya lari dan lari sehinggalah sampai di pintu hospital dan pengsan.
Beberapa jam kemudian, saya tersedar di katil hospital. Saya dimaklumkan saya mengalami keguguran. Saya sedih, saya keguguran kerana saya mahu belajar 'menguruskan' suami saya.
Saya berada di hospital selama 10 hari dan suami saya langsung tidak datang melawat. Hanya ibu mertua yang datang melawat pada hari ketujuh dan membawa surat perceraian anak lelakinya itu.
"Saya ceraikan awak dengan talak satu kerana tidak balik ke rumah dan keluar dari rumah tanpa kebenaran.
"Saya akan menerima awak kembali jika awak mengaku menyesal dengan perbuatan awak dan meminta kemaafan dari saya dan ibu saya," tulisnya dalam surat tersebut.
Saya hampir tergelak membaca ayat terakhir itu. Boleh bayangkan?
Ibu mertua bayar kos perubatan dan memberi saya sedikit wang untuk pulang ke rumah ibu bapa saya. Ibu bapa saya pada awalnya menyangka saya yang bersalah dalam hal ini dan memberi teguran pada saya. Namun selepas 8 bulan, Abdul atau keluarganya langsung tidak menunjukkan sebarang bayangan untuk datang dan barulah ibu bapa saya sedar dan mula percaya dengan apa yang saya beritahu mereka selama ini.
Ahli keluarga yang lain masih menyalahkan saya di atas perceraian itu. Parut masih berbekas di badan dan mengingatkan saya akan penderitaan yang lalu setiap kali melihatnya.
Saya bersyukur pada Allah yang membawa saya keluar dari perkahwinan itu. Meninggalkan lelaki itu adalah satu perasaan lega yang tidak terkata.
Kepada mana-mana wanita yang membaca diari saya ini dan jika anda berada di situasi yang sama, tolong selamatkan diri anda. Tiada gunanya bertahan kerana lelaki seperti itu tidak menghormati anda dan dia tidak akan berhenti melakukan perbuatan ganas tersebut. Lebih baik bercerai dari mati secara perlahan-lahan dipukul oleh lelaki seperti itu.
Terima kasih kerana sudi baca diari saya.
No comments:
Write comments