Friday 17 February 2017

Rogol murid: Guru pendidikan jasmani dipenjara 24 tahun, 12 sebatan

Guru Pendidikan Jasmani di sebuah sekolah rendah di Lembah Kelang, Mohd Ezlie Azram Mohammad Khasasi (tengah) di hukum penjara 24 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Seksyen Selayang hari ini kerana didapati bersalah merogol anak muridnya.

KUALA LUMPUR: Seorang guru Pendidikan Jasmani hari ini dijatuhi hukuman penjara 24 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Selayang di sini selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan merogol anak muridnya.

Hakim Tasnim Abu Bakar menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Ezlie Azram Mohammad Khasasi, 38, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Tertuduh dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan enam sebatan bagi setiap pertuduhan dan mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan berasingan bermula hari ini.

Bagaimanapun mahkamah membenarkan permohonan peguam mewakili tertuduh, Dony Abdullah dan Farhan Read untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sementara rayuan difail di Mahkamah Tinggi.

Mohd Ezlie Azram yang juga seorang guru silat menghadapi dua pertuduhan merogol seorang anak muridnya yang ketika itu berusia 11 tahun pada 2011 dan sekali lagi sewaktu mangsa berusia 13 tahun pada 2013, di sebuah rumah di Selayang di sini.

Duda dua anak itu didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shahida Wan Omar memohon hukuman berat mengambil kira tindakan tertuduh yang sepatutnya memberi pendidikan dan perlindungan bukan mengambil kesempatan ke atas anak muridnya.

"Profesion perguruan adalah pekerjaan yang mulia dan disanjung tinggi, sebagai seorang guru dia tidak sewajarnya melakukan sedemikian," katanya.

Bagaimanapun, Farhan Read merayu supaya anak guamnya dikenakan hukuman ringan dengan alasan dia mempunyai tanggungan dua orang anak bersama bekas isteri.

Sebanyak lima saksi pihak pendakwaan dan tiga saksi pihak pembelaan termasuk tertuduh dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula Oktober 2014 -- BERNAMA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments