Sunday, 19 February 2017

Pemandu wanita rempuh remaja berbasikal dibebaskan dengan jaminan polis


JOHOR BAHRU: Pemandu wanita yang ditahan untuk membantu siasatan melanggar sekumpulan remaja berbasikal yang menyebabkan lapan maut dan lapan lagi cedera, dibebaskan dengan jaminan polis, hari ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata pemandu berusia 22 tahun terbabit dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai direkod keterangannya. 

Katanya, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut kes berkenaan, selain pada masa sama polis akan mempertingkatkan rondaan dan pemantauan di beberapa lokasi panas yang dikenal pasti menjadi tempat berkumpul bagi aktiviti berbasikal ini, termasuk di lokasi kejadian. 

"Siasatan awal polis mendapati wanita itu tidak menggunakan telefon bimbit ketika memandu. Dia dalam keadaan trauma dengan kejadian itu dan polis membebaskan dia hari ini selepas direkod keterangan," katanya pada sidang media di Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina peringkat Parlimen Pulai di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat di sini, sebentar tadi. 

Dalam kejadian awal pagi semalam, tindakan sekumpulan remaja menunggang basikal yang diubah suai secara beramai-ramai membawa padah apabila lapan daripadanya maut, manakala lapan lagi cedera selepas dirempuh sebuah kereta di Jalan Lingkaran Dalam, dekat sini. 

Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Nissan Almeera dipandu seorang wanita berusia 22 tahun merempuh kumpulan remaja terbabit. Ketika kejadian, terdapat antara 20 hingga 30 remaja bersama basikal yang diubah suai. - BH online

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments