Wednesday 1 February 2017

Hutang PTPTN: Mengapa keras sangat hukuman?

Tindakan kerajaan menyekat perjalanan ke luar negara seseorang yang gagal membayar semula hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) adalah terlalu membebankan, kata pengarah Ahmad Idham.

Jika pendekatan lebih bersesuaian tidak difikirkan untuk menangani isu berkenaan, katanya, ia boleh menyebabkan keresahan dan kemarahan belia semakin sukar dibendung.

“Apabila saya bercakap soal ini, ramai belia yang memberi tanda sokongan dan menyatakan perasaan marah kerana diberi hukuman begitu (dilarang ke luar negara).

“Saya tertanya-tanya, tiadakah hukuman lebih lembut boleh dikenakan ke atas pelajar berhubung isu ini kerana disebabkan seorang yang berdegil untuk bayar, yang lain turut mendapat kesan.

“Peranan kita adalah untuk mendidik belia bukan menindas dengan sistem tidak sempurna yang dilihat menekan,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Katanya, tindakan menyekat PTPTN dilihat tidak selaras dengan sikap kerajaan seperti digambarkan dengan slogan “belia penentu masa depan negara.”

Ahad lalu, Ahmad menyuarakan pendapatnya mengenai isu PTPTN di media sosial dan menerima pelbagai respon daripada netizen.

Status itu diulang siar hingga mencecah 12,100 kali di Twitter dan disukai lebih 1,000 akaun di Instagram.

Katanya, tanpa memikirkan insiatif yang lebih mesra, mustahil untuk kerajaan ingin ‘memikat’ hati belia pada ketika ini.

“Antara agenda kerajaan adalah untuk 'membeli' jiwa belia, tetapi di bahagian agensi seliaan pula, mereka seperti kurang peka dengan situasi begini.

“Bagaimana hal ini boleh berlaku sedangkan kerajaan begitu bersungguh-sungguh berusaha untuk memenangi hati golongan belia?” soalnya.

Bukan strategi pemasaran filem

Walaupun tidak pernah meminjam PTPTN, Ahmad Idham atau nama penuhnya Ahmad Idham Ahmad Nadzzri, 43, berkata dia terpanggil untuk bersuara bagi pihak belia kerana emosinya terkesan dengan keluh-kesah disuarakan golongan terbabit.

Untuk makluman, Ahmad adalah pengasas Akademi Filem Ahmad Idham dan kehidupan hariannya tidak lari daripada isu berkaitan belia.

Selain itu, Ahmad Idham juga menguruskan produksi perfileman yang kebanyakan pekerjanya juga terdiri daripada golongan itu.

Ahmad Idham menegaskan, pendapatnya diluahkan adalah secara rasional dan tidak memihak kepada mana-mana parti politik, atau membela pelajar yang liat membayar hutang PTPTN.

Malah, pelakon drama Cinderella (1998) dan pengarah Hantu Bonceng itu turut menafikan cakap-cakap belakang yang menganggap pandangannya berhubung isu PTPTN semata-mata untuk menarik perhatian umum kerana hasil kutipan filemnya merosot seperti didakwa sesetengah pihak.

“Saya bersuara sebagai rakyat Malaysia dan faham benar kesan ekonomi tidak menentu dialami setiap warganegara.

“Bayangkan untuk pelajar yang baru saja tamat pengajian, bahu mereka dibebankan dengan hutang puluhan ribu sedangkan bukan senang nak cari kerja atau perlu menguruskan banyak keperluan lain lagi, kesian.

“Ini tidak ada kena mengena dengan filem, saya bercakap soal PTPTN, mengapa ada yang perlu bangkitkan isu lain dan bila masa pula filem diarahkan tidak laku?” soalnya.

Untuk tahun ini, Ahmad Idham dijangka menerbitkan dua filem iaitu Minah Motor- yang bakal menemui penonton April depan - dan Pencuri Hati Mr Cinderella - pada hujung tahun.

Sementara itu Ahmad Idham turut membangkitkan kewajaran sistem pembiayaan pendidikan tinggi ditanggung penuh kerajaan bagi memastikan golongan belia mampu mendapatkan pengajian diinginkan.

“Kita ada Kuala Lumpur City Centre dan pada masa yang lain mampu membuat pelaburan hingga mencecah berbilion ringgit untuk satu-satu projek.

“Hal itu sekaligus menimbulkan tanda tanya terhadap pembiayaan yang sepatutnya boleh diperuntukkan kepada belia,” katanya. - Malaysiakini

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments