Monday 18 December 2017

Saya Ingatkan Gaduh-Gaduh Biasa – Saksi


“SAYA ingatkan gaduh-gaduh biasa sahaja sebelum terdengar bunyi letupan.”

Demikian kata seorang saksi yang berada lokasi kejadian seorang lelaki dibunuh di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi, Johor Bahru, Johor semalam.

Menurut pekerja stesen minyak yang hanya mahu dikenali sebagai Ismail, 53, dia terus bergegas ke bahagian depan sebaik mendengar suara wanita menjerit dalam bahasa Mandarin.

Dia yang menyangkakan hanya kes pergaduhan kecil terkejut setelah mendapati suspek yang menggunakan kereta BMW berwarna putih, melanggar dan cuba gilis mangsa sehingga mati.

“Saya terus berlari ke tempat kejadian untuk melihat apa yang berlaku.

Tak lama selepas itu saya nampak sebuah kereta BMW melanggar mangsa dan pemandunya mengundurkan kenderaan lalu menggilis mangsa,” katanya dipetik portal Berita Harian.


Ismail kemudian melihat kereta dengan nombor pendaftaran WB 79 L itu memecut ke arah Jalan Serampang manakala mangsa kemudian disahkan meninggal dunia akibat cedera parah pada bahagian dada kiri oleh pasukan perubatan.

Dalam kejadian pukul 7.30 malam itu, mangsa yang merupakan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an maut selepas disyaki ditikam sekumpulan lelaki ketika sedang mengisi angin tayar di stesen minyak berkenaan.

Sebelum kejadian, mangsa bersama isterinya yang merupakan warga asing berusia 20-an sedang mengisi angin tayar kereta Volkswagen Polo dinaiki mereka di stesen berkenaan.

Terdahulu, pihak polis Johor memaklumkan kes tersebut masih dalam siasatan dan belum ada sebarang tangkapan dibuat setakat ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Azman Ayob berkata, pihaknya akan memaklumkan kepada pihak media apabila ada perkembangan baharu kes itu. – MYNEWSHUB.CC

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments