Friday 8 December 2017

Trump Mengambil Keputusan Paling Bodoh Dalam Sejarah


UMUM telah pun ketahui keputusan muktamad Presiden Donald J. Trump secara satu pihak mengiktiraf Baitulmaqdis (Jerusalem) sebagai ibu kota negara Israel pada malam Rabu lalu.

Beliau juga telah bersetuju untuk memindahkan bangunan kedutaaan negaranya yang kini berada di Tel Aviv ke bandar raya Baitulmaqdis.

Tindakkan terbaharu diambil Trump ini boleh dianggap paling bodoh dalam sejarah pentadbiran Amerika Syarikat (AS) khusus berkaitan konflik antara masyarakat Palestin dan Israel sejak penubuhan haram negara Israel pada 1948.

Tindakannya ini juga bukan sahaja akan menjadikan konflik antara Palestin dan Israel bertambah buruk malah turut akan mengundang perasaan tidak puas hati dari kalangan umat Islam di serata dunia termasuk di Malaysia.

Tindakannya ini juga akan menyebabkan segala usaha peperangan terhadap keganasan menjadi bertambah sukar kerana pihak penganas akan mengunakan isu ini sebagai alasan untuk melakukan pelbagai jenis keganasan.

Pada masa yang sama memudahkan usaha mereka untuk menyebarkan segala pengaruh militan serta keganasan ke serata dunia.

Isu ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana ia melibatkan maruah serta masa depan umat Islam bukan sahaja di Palestin malah dari serata dunia termasuk di Malaysia.

Apa menyedihkan ialah dalam menghadapi proses pilihan raya umum yang bakal tiba bila-bila masa sahaja dalam negara kita, ramai pihak termasuk kalangan ahli politik dilihat lebih gemar beri fokus terhadap isu remeh temeh.

Mereka hanya memberi sepenuh masa dan tenaga untuk berdebat antara satu sama lain. Fokus yang sepatutnya diberikan pada masa kini ialah mencari jalan bagi menghalang rancangan Trump serta pihak – pihak tertentu.

Kelompok ini yang sedang giat berusaha untuk menjadikan bandar raya Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel. Perlu diketahui umum, Baitulmaqdis adalah hak mutlak milik masyarakat Palestin buat sekian lama.

Ia dirampas oleh rejim Israel selepas negara-negara Arab kalah teruk dalam peperangan Enam Hari melawan rejim Israel.

Sehingga kini status Baitulmaqdis masih belum dimuktamadkan lagi oleh mana-mana negara dunia selain AS serta pihak pertubuhan antarabangsa yang bertauliah seperti pihak Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Malaysia sebagai sebuah negara berpengaruh dalam kalangan negara Islam serta di peringkat antarabangsa perlu guna segala pengaruh yang ada untuk mematahkan rancangan menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Sebarang pertelingkahan politik yang sedang sibuk dibuat pada masa kini perlu dikurangkan pada kadar minimum. Fokus sepatutnya diberikan bagi bantu masyarakat Palestin yang sedang terkapai-kapai cari sokongan dan bantuan.

Masa dan tenaga yang dimiliki oleh semua pihak serta dalam kalangan ahli politik sepatutnya digunakan bagi mengagalkan rancangan terkini Trump.

Bukannya sibuk mencari kelemahan pihak lawan dalam politik serta memberi fokus terhadap masa depan karier politik masing-masing.

Dr. Muzaffar Syah Mallow,
Pensyarah Kanan,
Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments