Friday 8 December 2017

Bahana Cinta, Gadis Jalani 30 Pembedahan Plastik


USIANYA masih muda namun siapa sangka bintang YouTube dari Hong Kong, Berry Ng pernah menjalani 30 prosedur pembedahan plastik demi menawan hati teman lelakinya!

Menurut Berry, dia melakukan pembedahan tersebut sejak lima tahun lalu oleh kerana masalah kurang keyakinan diri yang dialaminya, di samping keinginan untuk kelihatan cantik seperti supermodel.

“Saya sering membandingkan diri saya dengan kecantikan yang dimiliki peragawati dan bintang terkenal. Saya tahu ia tidak patut tetapi saya tidak dapat kawal diri saya,”katanya dipetik China Press. 

Dalam pada itu, Berry memberitahu ‘mimpi buruk’nya bermula apabila dia mula jatuh cinta dengan seorang lelaki yang sembilan tahun lebih tua ketika usianya menginjak 20 tahun.


Ujarnya, lelaki yang tidak didedahkan identiti itu gemar memaki serta membanding-bandingkan kecantikannya dengan wanita lain.

Sedih dengan keadaan itu, Berry nekad untuk menjalani hampir 30 pembedahan plastik dalam tempoh enam bulan.

“Dia kerap memuji gadis lain dan mengatakan saya tidak cukup cantik. Setiap kali saya melakukan prosedur pembedahan plastik, dia masih tidak puas hati.

“Saya melakukan prosedur di bahagian dahi, mata, pipi, hidung dan dagu. Namun dia tetap tidak memuji saya,” cerita Berry.

Prosedur terakhir sebelum Berry tersedar dari ‘lamunan’anya adalah apabila dia membuat pembedahan payudara selepas lelaki berkenaan mengkritik saiznya terlalu kecil.

Selepas selesai pembedahan, Berry terlantar di hospital namun lelaki itu hanya datang dan memarahinya dengan teruk.


Bukan itu sahaja, malah lelaki tersebut turut mendakwa bahawa dia sama sekali tidak pernah menyuruh Berry untuk berbuat sedemikian.

Berry yang marah dengan perkara itu mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan dengan teman lelakinya itu.

Sementara itu, apabila disoal adakah gadis ini suka akan penampilan sekarang, Berry mengakui menyesal dan lebih suka akan wajahnya yang dahulu.

“Kalau saya mampu, saya akan lakukan apa sahaja untuk kembali ke masa silam dan hentikan kebodohan saya,” katanya. – MYNEWSHUB.CC/AM

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments