Thursday 14 December 2017

Pura-Pura Depan Majikan Sebelum Belasah Bayi


ZAMAN sekarang ramai golongan ibu yang berkerjaya terpaksa meninggalkan anak-anak mereka di bawah jagaan pengasuh yang berbayar.

Meskipun bimbang meninggalkan anak masing-masing di bawah jagaan individu yang tidak mempunyai pertalian kekeluargaan, mereka terpaksa berbuat demikian demi kehendak kerjaya.

Dek kerana itu juga, ramai ibu akan cerewet dalam memilih pengasuh kerana mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka.

Namun biarpun sudah memilih pengasuh yang dirasakan sesuai, masih ada segelintir individu yang bermuka-muka dan melakukan perkara jahat di belakang majikannya.

Inilah yang berlaku kepada seorang wanita di Zhengzhou, wilayah Henan pada minggu lalu apabila anaknya dilayan dengan begitu teruk setelah dia berlalu pergi meninggalkan bayinya kepada seorang pengasuh.

Lapor Dailymail, mangsa yang dipercayai berusia setahun setengah telah ditumbuk bertubi-tubi oleh pengasuhnya di dalam sebuah lif kira-kira jam 5 petang.

Menerusi rakaman litar tertutup (CCTV), ibu bayi terbabit pada mulanya dilihat melambai-lambai anaknya sebelum ditinggalkan.

Pada waktu itu, pengasuh tersebut mendukung anak majikannya itu dengan baik tanpa sebarang tanda-tanda untuk berkelakuan kasar.

Namun sebaik sahaja pintu lif itu tertutup, wanita tersebut mula menunjukkan sisi dirinya yang sebenarnya.


Pengasuh itu terus mengangkat tangan seolah-olah mahu memukul bayi tersebut, berkemungkinan untuk mengugutnya supaya berhenti menangis.

Namun bayi berkenaan semakin kuat menangis, membuatkan wanita itu menumbuk perut mangsa bertubi-tubi sebanyak empat kali.

Bukan itu sahaja, pengasuh itu memukul kepala bayi berkenaan selepas meletakannya dalam penolak dan menggoncang bayi tersebut seolah-olah seperti dirasuk syaitan.

Menurut pihak polis, ibu bapa anak kecil tersebut telah melaporkan kejadian itu selepas menonton rakaman CCTV lif berkenaan.

Pengasuh berusia 42 tahun yang hanya dikenali sebagai Li itu kini ditahan polis kerana sengaja menyebabkan penderaan fizikal kepada mangsa.

Insiden kejam itu turut mencetuskan pelbagai reaksi netizen yang mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap wanita yang tidak berperikemanusiaan itu.

“Wanita ini tiada anak ke? Bagaimana dia boleh tergamak pukul bayi berkenaan tanpa rasa apa-apa,” kata netizen di Weibo. – MYNEWSHUB.CC

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments