Sunday 17 December 2017

Majlis Hari Lahir, Tukar Jadi Tragedi ‘Hitam’…


VIRAL di media sosial sejak semalam rakaman memaparkan seorang kanak-kanak dan wanita sedang menyambut ulang tahun kelahiran masing-masing dalam dua kejadian yang berasingan.

Menerusi rakaman tular berkenaan, majlis yang sepatutnya meriah tapi bertukar menjadi tragedi ‘hitam’ apabila rambut masing-masing menjadi ‘mangsa’ kepada lilin kek.

Dalam kejadian pertama, kanak-kanak perempuan yang tidak didedahkan identiti itu dilihat begitu gembira diraikan dalam satu majlis yang meriah.

Bukan itu sahaja, malah kek yang disediakan juga cukup istimewa di mana ia menggunakan sejenis lilin yang dikenali firework candle sehingga menambah lagi keterujaan kanak-kanak itu.

Bagaimanapun kemeriahan itu hanya sementara apabila selesai menyanyi, budak itu disembur dengan birthday spray string tetapi cuba dielak oleh nya daripada terkena mata.

Tetapi, keadaan itu ternyata menjadikan keadaan semakin teruk apabila spray tersebut disembur pula ke lilin lalu ia menyambar rambut budak tersebut kemudian meraung ketakutan.


Sementara itu dalam kejadian kedua pula dilihat seorang wanita sedang duduk di atas sofa dan seorang lagi rakannya memegang kek di sebelah.

Selesai sahaja menyanyi, wanita yang memegang kek tadi meletakkan makanan tersebut di atas meja.

Pada masa sama kelihatan pula beberapa lagi rakan yang lain datang daripada arah bertentangan sambil menyembur birthday spray string ke arah mereka tanpa menghiraukan api daripada lilin yang tersusun di hujung meja.

Ekoran terlalu ‘hanyut’ dalam kemeriahan itu, perkara itu secara tidak langsung telah mengakibatkan api menyambar kedua-dua wanita berkenaan terutamanya si pemegang kek tadi.

Perkongsian yang tidak didedahkan lokasi dan masa kejadian itu dilihat menerima pelbagai reaksi daripada netizen tidak kira sama ada yang berbentuk positif mahupun negatif.

Sehingga kini, rakaman berkenaan dilihat menerima lebih daripada 200,00 tontonan di laman Facebook. – MYNEWSHUB.CC/AM

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments