Wednesday 6 December 2017

Azwan ‘Surprise’ Muncul Lancar #JahanamAzminAli


GEMPAR… Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), ibu negara pada Rabu dikejutkan dengan kehadiran selebriti kontroversi tanah air, Azwan Ali.

Kemunculan beliau ‘mencuri’ tumpuan bukan sahaja pihak media malahan perwakilan dan orang ramai yang hadir untuk mengikuti mesyuarat tahunan tiga sayap parti keramat terbesar umat Melayu di dunia itu sepanjang hari ini.

Kedatangan Azwan ketika sidang akhbar sekumpulan pemimpin UMNO Selangor diketuai Tan Sri Noh Omar sekali gus mengesahkan misi beliau mahu ‘menjatuhkan’ abang kandungnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di negeri itu.

Lebih unik Azwan tiba di PAU 2017 dengan aktivis sosial tidak asing lagi, Datuk Seri Jamal Md. Yunos yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar dan Pengerusi Gerakan Baju Merah Gabungan NGO 1Malaysia.

Sewaktu ditemui pemberita, Azwan mendedahkan sikap buruk Azmin terhadap beliau yang selama ini merupakan penyokong kuat politik abangnya itu sehingga dipilih sebagai Timbalan Presiden PKR dan Menteri Besar Selangor.

Namun, setelah hilang banyak peluang kerja dalam industri hiburan, sokongan itu bertukar menjadi dendam ekoran sikap Azmin sendiri malah didakwanya lebih mementingkan kumpulan kroninya yang korup daripada nasib rakyat.

“Lima tahun lepas, apa jenis abang, kau menang besar, aku jual maruah aku sebagai artis, aku hilang job, RTM sekat aku. Saya sanggup berdiri di belakang Azmin berkempen di Sungai Pusu, saya sebak sebab saya ingat sejarah tu.

“Kerana gambar sekeping tular di media sosial, saya hilang segala pekerjaan. Tapi apabila dia menang besar Pilihan Raya Umum (PRU), kamu boleh tanya beberapa saksi, sehingga hari ini saya tak dapat satu pun SMS dari Azmin.

“Itulah perangai busuk Azmin tidak hargai pengorbanan orang. Dia hargai orang songlap. Saya yang berkorban untuk dia, tak dihargai, apa jenis abang macam tu, perlukah terus sokong dia. Dia paling bangkai,” katanya sebak.

Azwan turut melancarkan hashtag #JahanamAzminAli sebagai kempen menjatuhkan Menteri Besar itu bahkan mengesahkan sedia bergandingan dengan Jamal untuk misi khas menumbangkan Azmin pada PRU ke-14 nanti.

Kedua-dua individu popular kontroversi itu waima datang daripada latar belakang berbeza dan memiliki pengikut tegar tersendiri, namun mencapai kata sepakat untuk kerjasama bagi berkempen melawan Menteri Besar Selangor.

Azwan menyifatkan saudara darah dagingnya itu sebagai seorang yang telah lupa diri dan tidak ingat kepada nasihat arwah bapa mereka, Ali Omar dahulu supaya tetap hormat kepada orang lebih tua walaupun dalam bab berpolitik.

“Dia lupa apa amanah arwah Haji Ali, orang sehebat Tan Sri Noh pun dia nak against(lawan). Apa masalah dia, hormatlah orang lama walaupun berbeza ideologi. Kalau ingat kau menteri besar hebat sangat, biar aku jatuhkan.

“Menteri lain mungkin tidak berani jatuhkan kau, meh sini aku pula jatuhkan kau,”tegas Azwan. Beliau turut menafikan tohmahan pembangkang konon dibayar oleh mana-mana pihak dalam usahanya untuk lawan Azmin.

“Jangan ingat saya dapat dedak, saya dibayar juta-juta, itu tidak ada,” jelas beliau. Dalam pada itu, Jamal turut mengumumkan pelantikan Azwan sebagai wakil calonnya di kerusi Bukit Antarabangsa untuk melawan Azmin.

“Terima kasih, hasrat saya untuk jadikan saudara Diva Azwan ini sebagai wakil calon untuk saya bertanding di Bukit Antarabangsa N19 akhirnya menjadi kenyataan dan beliau pun bersetuju selepas bincang jadi wakil calon saya.

“Beliau telah menunjukkan harapan supaya Bukit Antarabangsa dapat ditawan dan mengalahkan Azmin sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri di sana, saya harap Azmin jangan lari,” sindir Jamal. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments